Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pusat Kecemerlangan Centre for Telecommunication Research and Innnovation (CeTRI), bakal meneguhkan jalinan kerjasama strategik bersama Wireless Communication Centre (WCC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam projek penyelidikan dalam bidang Komunikasi 5G, Sistem Komunikasi Wayarles, Rekabentuk Antena dan Perambatan Gelombang Mikro.
Perbincangan yang telah berlangsung pada minggu lalu menyaksikan persetujuan di antara kedua-dua belah pihak untuk mematerai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat untuk tempoh tiga tahun bermula Februari 2018 yang lalu sehingga Februari 2021.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UteM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor sewaktu ditemui di pejabat beliau menyatakan bahawa perbincangan dan kata putus yang telah ditetapkan amat penting bagi membina jalinan hubungan kerjasama penyelidikan sesama universiti demi mencapai visi dan misi universiti melalui pemerkasaan program kerjasama di dalam bidang penyelidikan dan pengkomersilan.
Tambah beliau lagi, hasrat tersebut bakal direalisasikan dengan jalinan kerjasama yang erat dengan Pusat Kecemerlangan Nasional (HI-COE) yang terkemuka dalam pelbagai bentuk dan seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman bagi kedua-dua belah pihak untuk memperjelaskan lagi kepentingan dan peranan masing-masing.
Menurut Ketua Penyelidik bagi kolaborasi tersebut iaitu Dr. Imran Mohd Ibrahim menyatakan bahawa kolaborasi penyelidikan bersama kumpulan penyelidik dari WCC UTM dalam bidang Komunikasi 5G, Sistem Komunikasi Wayarles, Rekabentuk Antena dan Perambatan Gelombang Mikro telah dijalankan bersama sejak dari tahun 2014 lagi.
Ujar beliau lagi, MoU yang bakal ditandatangani adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak dalam pemerkasaan aktiviti penyelidikan dalam bidang yang telah sedia berlangsung, perkongsian fasiliti penyelidikan dan pembangunan teknologi dan penghasilan bersama penerbitan jurnal berimpak serta lain-lain aktiviti penyelidikan yang akan memberi impak kepada CeTRI UTeM dan WCC UTM.
WCC UTM merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Nasional (National Hi-CoE) yang telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT dalam bidang rekabentuk antena dan kajian perambatan gelombang yang mana berdasarkan reputasi tersebut kerjasama yang diadakan dilihat sebagai satu peluang koloborasi dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang teknologi komunikasi wayarles terutamanya teknologi masa hadapan, 5G.
Pasukan penyelidik UTeM seramai 9 orang akan diketuai oleh Dr. Imran bagi merealisasikan hasrat tersebut bersama dengan pasukan seramai 10 orang penyelidik dari UTM yang diketuai oleh Prof. Dr Tharek Abdul Rahman.