Aspek pengetahuan luas serta kemahiran pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan universiti antara kriteria utama yang perlu dimiliki oleh barisan pemandu kenderaan sekaligus ianya membantu dalam penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan universiti.
Di atas inisiatif ini maka Pejabat Pengurusan Kenderaan Universiti (PPKU), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerapkan 30 orang Pemandu Kenderaan dan dua orang Penolong Jurutera menghadiri Kursus Latihan Penyelenggaraan anjuran Hino di Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kursus yang telah diadakan bertempat di Hino Sales & Services tersebut telah memberikan latihan lanjutan kepada para pemandu dan juga penolong jurutera bagi penyelenggaraan di samping teknik-teknik pemanduan tahap professional kepada para pemandu kenderaan universiti dalam memastikan kelancaran kenderaan dan pemanduan sewaktu mereka bertugas.
Menurut Penolong Naib Canselor (Pembangunan & Pengurusan Fasiliti) UTeM, Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin sewaktu diminta mengulas menyatakan bahawa Kursus yang diadakan ini adalah bertepatan dengan peserta sasaran iaitu pemandu kenderaan universiti bagi melatih mereka kaedah memandu tahap tinggi dan menyelenggara kenderaan yang dipandu mereka dengan lebih efektif.
Tambah beliau, kesemua pemandu kenderaan universiti boleh memandu dengan baik namun mereka kini diberi pendedahan teknik pemanduan lanjutan tahap tinggi sekaligus membantu universiti dalam menjimatkan kos penyelenggaraan.
"Senario ini dipandang serius oleh pihak UTeM yang mana kesemua jabatan dalam UTeM adalah berkonsepkan prestasi tinggi di samping pada kos operasi yang sangat rendah dalam perbelanjaan operasi namun terus memacu sumbangan berimpak tinggi di pentas pengajian tinggi negara", katanya lagi.
Sementara itu Penolong Pegawai Tadbir PPKU UTeM Azrai Abdul Aziz merangkap Pengarah Program ini berkata, penyelenggaraan kenderaan yang menjadi fokus utama dalam kursus tersebut turut menyentuh mengenai teknik-teknik yang berkesan bagi mengesan permasalahan yang berlaku di samping memperbaiki dan menyelenggara kenderaan dengan menggunakan kos yang paling minima.
Kursus sehari tersebut berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki hasil bantuan tenaga pengajar melalui pelbagai perkongsian maklumat dari pihak Hino kepada para pemandu UTeM dan penolong jurutera dalam memastikan operasi pengangkutan UTeM terus efisyen dan efektif.