Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara rasminya telah menerima bangunan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) daripada pihak kontraktor setelah lengkap dan sempurna kerja-kerja menaiktaraf bekalan elektrik dari 11kv kepada 33 kv.
Ini adalah salah satu elemen dalam meningkatkan keupayaan dan kemampuan fasiliti Kampus Induk UTeM yang kian bertambah bilangan pelajar pada setap tahun dalam operasi UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu teknikal dalam negara kita.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek ini dalam memastikan UTeM mendapat kemudahan yang sepatutnya bagi memenuhi pertambahan pembangunan yang rancak berlangsung dalam kampus induk UTeM ini.
Tambah beliau, PPU ini memudahkan pengagihan elektrik yang digunakan bagi menampung keperluan di dalam kampus induk yang mana telah berlaku peningkatan tenaga selepas Kolej Kediaman Satria telah dihuni dalam anggaran seramai 5,000 orang pelajar.
Selain itu dengan adanya kemudahan PPU pada kadaran tenaga yang tinggi itu juga memudahkan bagi kegunaan akan datang apabila siap nanti projek pembangunan bangunan fakulti yang baharu dalam Kampus Induk UTeM sekaligus merancakkan pemacuan proses pembangunan dan kemodenan insfrastuktur di sini.
Majlis penyerahan kunci bagi PPU ini telah berlangsung baru-baru ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) Melaka, Ir. Haji Zulkifly A.Ghani dan turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti), Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin dan Pengarah Pejabat Pembangunan, Lar. Abdul Wahab Harun.