Skip to main content
16 April 2026

Naib Canselor UTeM Terima Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia di Majlis 9th Malaysia Education and Learning Summit 2026, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut kenyaataan UTeM, anugerah ini mengangkat beliau yang terus komited dalam membawa UTeM secara konsisten sebagai sebuah Universiti Awam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik di Malaysia.

“Di bawah kepimpinan beliau juga UTeM telah berjaya mengukir kecemerlangan pendidikan bukan hanya di peringkat nasional malahan merentas sempadan antarabangsa dalam aspek hubungan strategik pelbagai institusi.

“Pada masa yang sama strategi kepimpinan beliau turut melonjakkan angka pengambilan pelajar UTeM teramai dalam sejarah di samping melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menjadi buruan dan pilihan utama majikan pelbagai industri dunia,” katanya.

Tambah kenyataan, secara umumnya, beliau telah berjaya mempamerkan pakej kualiti kepimpinan dinamik terbaik sepanjang tempoh beliau menjayakan amanah sebagai tunggak kepimpinan utama di universiti TVET terbaik di Malaysia ini.

“Kecemerlangan berganda beliau turut dilihat dalam konteks kesungguhan beliau menjayakan amanah negara dalam menggerakkan pemerkasaan TVET dalam kalangan wanita dengan menjayakan program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement).

Pengiktirafan ini juga rentetan kejayaan besar UTeM bagi penilaian Talentbank terhadap 1,200 majikan industri yang menobatkan UTeM mengungguli beberapa kategori antaranya bidang pengajian Automotif UTeM muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan universiti awam negara.

Pada masa yang sama menyaksikan bidang Automotif bersama tiga lagi bidang UTeM iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik menerima penarafan unggul “6-Star Employer Choice”.

Dalam pada itu, UTeM turut diiktiraf sebagai Universiti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkemuka di Malaysia bagi aspek kebolehkerjaan siswazah.

Selain itu, UTeM juga menjadi pilihan utama majikan untuk pengambilan graduan secara berskala besar dalam bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, mencerminkan tahap kepercayaan tinggi industri terhadap kemahiran teknikal dan kompetensi graduannya.

Keseluruhan pencapaian tersebut, telah diumumkan menerusi Graduate Employability Index 2026 oleh Talentbank, sekali gus meletakkan UTeM dalam kelompok lima universiti awam terbaik di negara ini.

Pengiktirafan ini telah melayakkan beliau menerima piala serta sijil anugerah berprestij yang telah disampaikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara yang kini Canselor Universiti Multimedia dan Universiti MAHSA, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi.

Meraikan kejayaan beliau di majlis ini, UTeM turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Dr Musthafah Mohd Tahir.

Secara peribadi antara pencapaian unggul beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang telah diterima oleh Massila adalah World Responsible AI Leadership Award (2025), World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award (2024), 10 Personaliti Terbaik Asia (2024): diiktiraf melalui Anugerah Personaliti Pendidikan Transformatif Cemerlang peringkat Asia, Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET) dan Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award (2025).