Bidang Pengajian UTeM jadi Pilihan Utama 1200 Majikan Industri
Bidang Pengajian Automotif, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia hasil daripada penilaian validasi yang telah dijalankan oleh Talentbank terhadap 1,200 majikan industri,
Pada masa yang sama bidang Automotif bersama 3 bidang pengajian UTeM yang lain iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik turut telah menerima penarafan unggul, 6-Star Employer Choice.
Dalam penilaian ini juga UTeM turut mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terkemuka di Malaysia Untuk Kebolehkerjaan Siswazah.
Dalam pada itu, UTeM turut menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar dalam bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, yang mencerminkan kepercayaan tinggi industri terhadap kompetensi serta kemahiran teknikal graduan yang dihasilkan.
Keempat-empat pencapaian dan pengiktirafan berprestij bagi Graduate Employability Index 2026 oleh 1,200 majikan menerusi Talentbank ini sekaligus menobatkan UTeM dalam kedudukan lima universiti awam terbaik dalam negara.
Mengulas tentang pencapaian membanggakan ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, 4 pencapaian besar ini merupakan hasil daripada strategi berkesan serta komitmen berterusan universiti selama ini.
“Ia bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan industri serta berfokus kepada pembangunan kemahiran praktikal dan insaniah pelajar,” ujarnya.
Katanya, pengiktirafan ini merupakan penzahiran kepercayaan tinggi pihak industri terhadap kualiti graduan UTeM, malah membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan berasaskan industri yang kami laksanakan secara bersepadu.
“Sehubungan dengan itu, UTeM akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan rakan industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja semasa, malah mampu menjadi pemacu inovasi dan pembangunan negara pada masa hadapan,” ulasnya lagi.
Dengan kemenangan tersebut UTeM telah menerima sebuah piala dan sijil kecemerlangan yang disampaikan dalam Majlis Employer Choice Award anjuran Talentbank di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM telah diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof. Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif menerima hadiah kemenangan ini.
Sabri dalam kenyataan menyentuh aspek kemenjadian mahasiswa turut menjadi elemen sokongan padu dalam ekosistem pendidikan universiti yang mana UTeM sentiasa menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik dalam acuan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah serta nilai kepimpinan.
“Kemenjadian mahasiswa adalah tonggak utama UTeM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai jati diri, daya tahan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan industri dan cabaran global.
“Seiring dengan itu, UTeM komited untuk terus memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang berorientasikan industri, sekali gus melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Turut hadir bersama meraikan kejayaan UTeM ini, Dekan Fakulti Teknologi dan kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya Dr Nadlene Razali dan Pengarah Pusat Pemerkasaan Pelajar, Alumni dan Kerjaya, Profesor Madya Dr Hazli Rafis Abdul Rahim.