Naib Canselor UTeM Terima World Responsible AI Leadership Award
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin telah dinobatkan sebagai tokoh kepimpinan unggul bertaraf dunia bagi kepimpinan Kecerdasan Buatan apabila telah menerima World Responsible Artificial Intelligent (AI) Leadership Award.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadilah Yusof dalam majlis Global AI, Digital & Green Economy Summit 2025 di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Global AI, Digital & Green Economy Summit 2025 merupakan sebuah platform menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri, kewangan, dan akademia dan sidang kemuncak ini berfokus bagaimana teknologi AI boleh mempercepatkan peralihan kepada ekonomi digital dan rendah karbon, serta menyokong pembangunan mampan di peringkat global.
Global AI, Digital & Green Economy Summit 2025 kali ini telah membariskan nama-nama besar dunia seperti N.R Narayana Murthy yang merupakan pengasas kepada Infosys Ltd. India dan pengerusi bersama World Digital Chamber (WDC).
Pengiktirafan dan penyampaian anugerah berprestij ini juga adalah sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap pencapaian, sumbangan dan prestasi cemerlang yang telah menzahirkan impak tinggi kepada industri dan komuniti.
Dengan pencapaian anugerah tersebut Massila telah menerima sebuah piala dan sijil pengiktirafan kecemerlangan.
Menurut kenyataan UTeM, anugerah ini jelas memperlihatkan kesungguhan Massila yang sentiasa komited dalam merealisasikan agenda semasa negara dan dunia dalam usaha memperkasakan AI dalam dunia pendidikan tinggi di negara ini.
“Usaha ini adalah seiringan dengan proses pemerkasaan AI dan teknologi digital yang kini sedang rancak melanda dan mempengaruhi corak peradaban digital dunia.
“Peranan UTeM bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu Pendidikan dan Lathan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber semata-mata malahan lebih dari itu.
"UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.
"Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan (Applied AI) yang merentas pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi dan sistem pintar," katanya.
Sementara itu mengulas tentang anugerah yang diterima ini Massila berkata, kemenangan ini dilihat bukanlah pencapaian peribadi beliau semata-mata tetapi ini adalah sebagai penghargaan terhadap seluruh warga UTeM yang sentiasa komited dalam menjayakan gelombang AI demi kemaslahatan sejagat.
Turut hadir bagi meraikan kejayaan ini adalah Timbalan Naib Cansleor Akademik dan Antarabangsa, UTeM, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Zahriladha Zakaria dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib