Skip to main content
Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 17 tahun 2022 ini turut diserikan dengan penganugerahan enam Anugerah Khas Industri kepada enam orang graduan terpilih.
 
Anugerah Khas Industri ini merupakan salah satu kategori hadiah akademik yang berprestij sekaligus memberikan gambaran keteguhan hubungan strategik berimpak antara UTeM dan rangkaian industri di peringkat global.
 
Sehubungan itu ianya turut merefleksikan bahawa graduan keluaran UTeM adalah bertepatan dengan kehendak semasa rangkaian industri peringkat dunia.
 
Tambahan pula ianya turut selari dengan acuan kurikulum pengajian UTeM berlandaskan Revolusi Industri 4.0 serta sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi negara ini.
 
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM Profesor Madya Ir. Dr. Md Nazri Othman berkata, pada tahun ini enam hadiah Anugerah Khas Industri telah disumbangkan oleh pihak industri strategik UTeM.
 
Jelasnya, pencapaian ini turut menzahirkan bahawa graduan UTeM terus menjadi buruan dan pilihan utama para majikan dalam sebarang situasi iklim ekonomi dan pertumbuhan industri dalam dan luar negara.
 
Tambahnya lagi, anugerah ini membuktikan UTeM mempunyai hubungan strategik dan erat bersama industri, antaranya adalah Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., dan STMicroelectronics Sdn. Bhd.
 
Menyentuh tentang penerima anugerah industri ini antara kriterianya calon selain pencapaian akademik turut melaksanakan Projek Sarjana Muda berkaitan dengan projek berimpak di syarikat berkenaan atau pernah mengikuti program pengambilan staf baru seperti latihan industri atau Program Aperantis Korporat atau kaedah biasa pengambilan staf di syarikat berkenaan.
 
Seterusnya pemilihan terakhir graduan turut dibuat oleh pihak industri bersama-sama pengesahan Jawatankuasa Tetap Senat Hadiah Akademik melalui senarai nama pelajar yang akan bergraduat yang telah disenarai pendek oleh pihak fakulti berdasarkan kriteria yang dicadangkan oleh pihak industri.
 
Bagi Majlis Konvokesyen UTeM ke 17 ini enam Anugerah Khas Industri telah dianugerahkan kepada enam orang graduan UTeM daripada pelbagai kursus yang mana Anugerah Kecemerlangan Infineon dianugerahkan kepada Tracy Yeo Hooi Yinn dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Anugerah Industri Infineon dianugerahkan kepada Mohammad Zulhakimi Mahammad Nor dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer.
 
Manakala empat lagi anugerah adalah Anugerah Kecemerlangan Xinyi dianugerahkan kepada Seah Booh Yun dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Anugerah Industri Xinyi dianugerahkan kepada Muhammad Zaim Abd Wahap dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Anugerah Industri Samsung SDIEM dianugerahkan kepada Muhammad Yazid Ibrahim dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Anugerah Industri STMicroelectronics dianugerahkan kepada Ahmad 'Irfan Shaari dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.
 
Anugerah Khas Industri ini menjadi pemangkin kepada graduan UTeM untuk lebih berusaha bagi mendapatkan dan memastikan ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melebihi keperluan dan jangkaan industri.