Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu berkuat kuasa mulai 21 Mac 2022 sehingga 20 Mac 2025.
Pelantikan Dr Massila sebagai Naib Canselor kelima UTeM adalah menggantikan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikannya.
Ianya turut meletakkan beliau sebagai wanita kedua yang menerajui kepimpinan UTeM sekaligus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Dr Massila memulakan kerjayanya di UTeM pada tahun 2004 sebagai Tutor di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.
Pernah menjawat beberapa jawatan pentadbiran antaranya sebagai Penyelaras & Pengurus, Centre of Excellence (CoE) UTeM (Mei 2014 hingga Mei 2017) dan Timbalan Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (Jun 2017 hingga September 2020).
Dr Massila mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif dalam lanskap pentadbiran dan pengurusan UTeM serta memperkukuhkan aspek pembangunan institusi dan akademik UTeM sebagai sebuah Universiti Teknikal yang disegani dan terus dikagumi.
Dr. Massila dilahirkan pada 14 Ogos 1981 dan berasal dari Banda Hilir, Melaka mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003.
Beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Perisian dari University of Wales Swansea, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 2011 dari The University of Auckland, New Zealand.
Beliau telah terlibat aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi, penulisan jurnal, pelbagai konferens dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa Agensi Kerajaan dan syarikat yang memberikan impak tinggi kepada negara dan dunia.
Susulan daripada sumbangan kepada universiti dan negara maka beliau telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan peringkat nasional dan global antaranya Malaysian Young Women Scientist 2020 oleh MINDS Malaysia.
Pihak UTeM mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini seterusnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan pula kepada Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UTeM sebelum ini.