Skip to main content
19 January 2022

3 tenaga akademik UTeM dapat kenaikan pangkat sebagai Profesor

MELAKA 18 Januari 2022: Seramai 3 orang staf akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) berkuatkuasa 22 Disember 2021.
 
Mereka adalah Profesor Dr Azah Kamilah Deraman @ Muda dari Fakulti Teknologi Malumat & Komunikasi, Profesor Dr Md nizam Abd Rahman dan Profesor Ts Dr Effendi Mohamad dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan yang mana jawatan sebelumnya adalah Profesor Madya Gred 54.
 
Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat berkata, ketiga-tiga mereka dipilih berdasarkan pencapaian mereka daripada 7 aspek yang terdiri daripada pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, perundingan, penerbitan, sanjungan dan kepimpinan akademik serta sumbangan kepada universiti dan masyarakat.
 
Jelas beliau, selain itu calon juga diharapkan dapat membantu universiti meluaskan jaringan kebangsaan dan antarabangsa dalam kelompok kesepakaran dan mempunyai prestasi cemerlang sebagai pemimpin akademik dan pemimpin pentadbiran akademik.
 
Katanya lagi, selari dengan kenaikan pangkat ini maka bilangan profesor di UTeM pada masa kini adalah berjumlah seramai 30 orang kesemuanya.
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berharap dengan kenaikan pangkat ini maka mereka dapat menjadi contoh kepada ahli akademik yang lain.
 
"Pada masa yang sama dapat membantu untuk meningkatkan bilangan sarjana di UTeM serta produktiviti dalam bidang akademik terutamanya penulisan dan penyelidikan dalam bidang kepakarannya.
 
"Semoga dengan gred jawatan yang baharu ini memberikan lebih banyak peluang untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada UTeM yang merupakan universiti teknikal awam pertama di Malaysia dan juga buat komuniti amnya," katanya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.
 
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kepada ketiga-tiga staf terbabit bagi kejayaan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) tersebut.