Skip to main content
Durian Tunggal 14 Januari - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalankan keseluruhan proses Pilihanraya Kampus (PRK) secara dalam talian secara sepenuhnya.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UTeM Datuk Dr Sabri Mohamad Shariff berkata, segenap proses pilihan raya kali ini dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya, berbeza dengan pilihan raya kampus sebelum ini yang hanya pembuangan undi sahaja secara atas talian.
 
Jelasnya, kesemua proses dan pelaksanaan secara dalam talian ini bermula seawal proses penjualan borang calon, pendaftaran pencalonan, proses berkempen sehinggalah proses pembuangan undi semuanya dilaksanakan secara dalam talian.
 
Ujarnya, dengan pendekatan kaedah ini dilihat perjalanan prosesnya berjalan dengan lebih lancar sehinggalah pada hari ini memudahkan 13,116 pelajar UTeM untuk membuang undi menerusi platform Portal@i E-undi dan aplikasi MyUTeM.
 
“Ianya mudah bagi mereka untuk memilih calon pilihan mereka menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM yang baharu sesi 2022,” ujarnya ketika ditembual sewaktu memantau proses pembuangan undi secara dalam talian pada PRK UTeM hari ini.
 
Ujarnya lagi, kaedah ini dilihat sebagai selari dengan musim pandemik yang mana tidak kira di mana sahaja penuntut UTeM berada mereka tetap boleh membuang undi dengan jayanya.
 
Sabri berkata, pada PRK kali ini sebanyak 34 kerusi telah dipertandingkan yang mana merangkumi 25 kerusi fakulti dan 9 kerusi umum.
 
“Ianya telah membariskan seramai 48 orang calon yang mana 26 calon adalah bagi kerusi fakulti dan 22 calon bagi kerusi umum.
 
Dr Sabri turut menyatakan bahawa UTeM merupakan antara universiti yang terawal melaksanakan PRK bagi tahun 2022 ini.
 
Perjalanan PRK UTeM ini digerakkan sekumpulan Jawatankuasa pelajar UTeM dikenali sebagai Jawatankuasa Pilihanraya Kampus (CEC) yang dipengerusikan oleh Mohammad Nor Mustaqim Johari yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri & Robotik) dengan Kepujian dan dibantu Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM,
 
Menurut Mohammad Nor Mustaqim, kesemua calon yang layak bertanding telah memulakan kempen secara dalam talian menerusi Facebook PRK UTeM selama 10 hari sewaktu sebelum ini bagi mengenengahkan manifesto masing-masing.
 
Sementara itu rata-rata kumpulan penuntut UTeM yang berada di seluruh negara menyatakan mereka merasakan lebih selesa membuang undi dengan kaedah sebegini.