ALOR GAJAH, 29 Disember : Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar)mengadakan program bantuan pemeriksaan kesihatan dan bantuan asas psikologi kepada mangsa banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina hari ini.
“ Pasca banjir, mereka yang terkesan akibatnya, bukan sekadar perlukan bantuan barangan keperluan dan khidmat gotong royong, malah turut merangkumi khidmat pemeriksaan kesihatan dan asas psikologi”, ujar Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UTeM.
Menurut Pengarah Pusat Sukan, Dr. Mohd Sanusi Azmi juga sebagai Ketua Program berkata, khidmat kaunseling penting bagi memberi motivasi serta menaikkan semangat mangsa banjir yang berada dalam keadaan sukar apabila ada diantara mereka yang trauma selepas rumah mereka terjejas akibat bencana itu.
Beliau juga turut berharap dengan bantuan asas psikologi ini dapat memberi harapan dan membantu mangsa yang terlibat dalam pengurusan emosi, tekanan atau simptom trauma yang mula mengganggu fungsi hidup dan dapat membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu.
Sementara itu, menurut Pengarah Pusat Kesihatan, Dr Mohamad Fuzi Saidin memaklumkan bantuan pemeriksaan tekanan darah dan kecing manis oleh Pusat Kesihatan UTeM, turut diberikan kepada mangsa dan penerangan mengenai penjagaan kesihatan asas ketika musim banjir, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Pada masa yang sama, sumbangan keperluan makanan juga turut diberikan kepada penduduk kampung.
Katanya lagi, program ini telah disertai dua orang Pegawai Kesihatan, tiga orang Pegawai Psikologi dan 10 orang pelajar dari Kelab Fasilitator Sahabat Siswa (FaSaSi).