Enam orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengharumkan nama negara apabila menjadi juara pertandingan antarabangsa Kaspersky Interactive Protection Simulation (KIPS) baru-baru ini.
KIPS merupakan permainan keselamatan siber yang menjadi tarikan ramai dari seluruh dunia dan kebanyakan pemain yang gemarkannya adalah terdiri daripada pengurus atasan organisasi, pakar-pakar, pelajar serta diplomat.
Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad berkata, kejayaan kumpulan mahasiswa UTeM yang dikenali sebagai kumpulan MH4/2 ini menyerlahkan kreativiti dan kepakaran pelajar UTeM di peringkat global.
Jelasnya, kemenangan utama pertandingan ini melayakan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak USD 3000.00 dan setiap ahli turut menerima lesen latihan di Kaspersky Online Cybersecurity Training Platform.
Kumpulan pelajar ini terdiri daripada Kwong Tung Nan, Liew Kok Foo, Mervyn Lim, Lim Zi Feng, Tan Wen Xiang yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dan Heng Fuyen pula merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Permainan).
Ketua pasukan UTeM, Kwong Tung Nan berkata, pada peringkat pertama, pemain mengambil peranan pakar teknologi maklumat (IT) di sebuah lapangan terbang yang terjejas oleh eksploitasi shellshock, perisian tebusan (ransomware), Advanced Persistent Threat (APT) dan kecurian wang oleh pekerja dalaman.
"Manakala di peringkat kedua pula, pemain mengambil peranan sebagai diplomat sebuah negara yang ditugaskan untuk mengambil tindakan bagi situasi Distributed Denial of Service, APT, hacktivis dan perisian tebusan.
"Seterusnya peringkat akhir adalah paling sukar dan pemain mengambil peranan pakar IT di loji kuasa yang disasar oleh pelbagai serangan tajaan negeri yang sangat khusus terhadap loji kuasa dan PLC yang digunanya dan menurut Kaspersky, peringkat ini amat serupa dengan serangan ‘stuxnet’ yang dijalankan beberapa tahun lalu," ujarnya.
Hasil daripada kejayaan ini memberikan manfaat yang besar bukan sahaja pelajar-pelajar, malah UTeM telah mendapat beberapa kerusi bagi pelajar-pelajar tertentu untuk menyertai latihan “Cybersecurity for IT Online” secara percuma.
Pertandingan ini telah disertai oleh lebih daripada 30 pasukan seluruh dunia dan telah mengambil masa selama 3 minggu.