6 Ogos, Durian Tunggal : Selari dengan aspirasi nasional maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut sama menyokong agenda kerajaan menjadi fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mula beroperasi pada hari ini bertempat di Kompleks Sukan, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Menurut kenyataan UTeM, program PPV UTeM adalah selari dengan usaha menyemarakkan Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses untuk memudahkan rakyat mendapat vaksin.
Terdahulu, pelaksanaan PPV UTeM ini adalah dikendalikan sepenuhnya dengan kerjasama bersepadu bersama dengan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.
Sepintas lalu, di peringkat awal penyelarasan bersama PKD Alor Gajah dan JKN Melaka mendapati fasiliti yang disediakan UTeM berupaya menjadi PPV bergerak dengan keupayaan pemberian vaksin kepada 600 orang setiap hari.
Pemberian vaksin ini diberikan keutamaan kepada warga UTeM yang melibatkan staf, pelajar dan pekerja bukan staf yang dianggarkan seramai 2,500 orang bagi mewujudkan imuniti kelompok di UTeM.
Operasi pemberian vaksin dos pertama di PPV UTeM ini dijalankan selama 4 hari iaitu pada 11, 17, 18 dan 19 Ogos ini manakala dos kedua pula akan diadakan pada 21 hari selepas daripada tarikh suntikan dos pertama.