Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menzahirkan inisiatif dalam memupuk minat kalangan pelajar sekolah terhadap matapelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selari itu, UTeM melaksanakan program perkongsian ilmu STEM dan Pautan Robotik secara atas talian menerusi facebook Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan juga facebook UTeM pada pagi tadi.
Program ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Komuniti & I-COE, PJIM dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).
Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti & I-COE, PJIM, Prof Madya Dr Effendi Mohamad berkata, secara asasnya program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah menengah khususnya bagi sekolah-sekolah menengah di negeri Melaka kepada STEM.
Jelasnya, pengetahuan berkenaan STEM dalam kalangan pelajar sangat penting kerana ia membantu para pelajar memilih kerjaya yang mereka minati berkaitan dengan STEM di kemudian hari.
Katanya, program pemindahan atau perkongsian ilmu STEM ini turut mendedahkan peserta mengenai Pautan Robotik secara spesifik kepada aplikasi automasi mesin.
“Di samping itu pelajar sekolah menengah juga berpeluang mendalami pengaturcaraan grafik seperti Minibloq dan Arduino sebagai sistem kawalan bagi projek melibatkan Pautan Robotik,” ujarnya dalam kenyataan pada hari ini.
Program siri pertama ini telah dijayakan oleh barisan tenaga akademik UTeM yang terdiri daripada moderator Prof Madya Dr Sharifah Sakinah Syeh Ahmad manakala barisannya panel pula adalah terdiri daripada Dr Mohd Nazmin Maslan, Dr Mohd Najib Ali Mokhtar dan Mahasan Mat Ali.
Mengulas lanjut Dr Effendi berkata, program ini juga menjadi medan kepada barisan pensyarah UTeM berkongsi kepakaran mereka dengan pelajar sekolah dan program ini akan diadakan secara bersiri.