Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencatatkan kejayaan terbaru apabila berjaya melonjakkan kedudukannya di tangga 109 UI GreenMetric World University Ranking on Sustainability 2020 (UIGM).
 
Kedudukan semasa UTeM ini adalah merupakan laporan terbaru yang dikeluarkan pihak UIGM baru-baru ini lalu meletakkan UTeM pada kedudukan 109 daripada 912 universiti di seluruh dunia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus menyerlah pada kedudukan 109 pada bagi tahun 2020 ini sekaligus menzahirkan peningkatan dari tangga 114 pada tahun 2019 lepas.
 
Jelas beliau, keputusan ini merupakan peningkatan secara berterusan UTeM bagi 5 tahun berturut-turut yang mana UTeM menyertai UIGM ini pada tahun 2016 pada kedudukan 269, 2017 pada kedudukan 170 dan 2018 pada kedudukan 148.
 
Menurut Dr Raha, antara faktor pendorong ke arah peningkatan kedudukan ini menerusi sub kriteria kelestarian yang ditambahbaik dalam penilaian dan kriteria UIGM di samping sumbangan kolektif dengan aspirasi kampus lestari dari seluruh institusi dan fakulti di UTeM.
 
“Pencapaian terbaru ini dalam erti kata lain telah menempatkan UTeM dalam kalangan 10 universiti dalam negara yang terus komited melaksana dasar dan program mesra alam serta kampus lestari yang mampan.
 
“Di samping itu ianya juga menzahirkan keberhasilan perancangan dan pelaksanaan UTeM sekaligus mengharumkan nama UTeM dan negara di pentas dunia,” ujarnya lagi menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
 
Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM, Profesor Madya Ts Juhari Ab Razak berkata, bagi meningkatkan lagi kedudukan selepas ini maka UTeM akan memberi lebih fokus aspek pengurusan air dan pengurusan sisa yang lebih bersepadu.
 
Katanya, aspek-aspek ini telah dikenalpasti dan ia memerlukan penggemblengan tenaga dan usaha semua pihak secara komprehensif agar misi ke arah menjadikan UTeM sebagai ikon kampus lestari rujukan dunia kesampaian.