Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dan bersinar dalam arena penyelidikan dan inovasi peringkat nasional dan global apabila telah berjaya menerima geran penyelidikan sebanyak lebih daripada RM 5 juta, baru-baru ini.
 
Kejayaan terbaru UTeM memperolehi geran penyelidikan ini menerusi Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Geran Padanan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dan New Car Assessment Program for Southeast Asia Countries (ASEAN NCAP).
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM telah berjaya memperolehi geran FRGS dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berjumlah RM 4.6 juta merangkumi 50 topik penyelidikan.
 
Jelas beliau, ini merupakan kejayaan besar apabila lebih 44% permohonan daripada 113 permohonan yang asal telah berjaya mendapat geran ini merangkumi beberapa domain utama penyelidikan.
 
Katanya, domain penyelidikan yang berjaya adalah terdiri daripada 17 topik bagi penyelidikan elektrik dan elektronik, 15 topik mekanikal dan pembuatan, 5 topik tenaga & teknologi hijau, 3 topik insfrastruktur dan pengangkutan dan 2 topik kepintaran buatan.
 
“Sementara itu 1 topik penyelidikan bagi setiap sub domain seperti psikologi, fizik, data, matematik dan statistik, pengkomputeran dan komunikasi termaju.,” ujarnya lagi.
 
Dr Raha berkata, pihak UTeM turut berjaya menerima geran penyelidikan yang dikenali sebagai Geran Padanan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang berjumlah sebanyak RM 460,000.00 merangkumi 3 topik penyelidikan dengan kolaborasi industri.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan bahawa penyelidik UTeM diiktiraf di peringkat dunia apabila mereka telah berjaya memperolehi geranan penyelidikan bagi New Car Assessment Program for Southeast Asia Countries atau Asean NCAP.
 
Ujar beliau, geran penyelidikan bagi Asean NCAP ini berjumlah RM 119,424.00 merangkumi 7 topik penyelidikan berimpak dalam kluster ini sekaligus memberi impak langsung kepada semua.