Skip to main content
Proses penghantaran kumpulan pertama seramai 28 orang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi Zon Selatan  selamat tiba ke destinasi masing-masing  pagi tadi.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, 3 perkara utama yang menggembirakan kita adalah aspek kelancaran proses penghantaran, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta kerjasama baik seluruh jentera agensi kerajaan yang terlibat.
 
Jelas beliau, kenderaan terakhir selamat tiba kembali ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka pada anggaran jam 5.30 pagi tadi dari Johor Bahru Selatan.
 
Katanya, dengan itu maka sempurnalah penghantaran penuntut UTeM bagi peringkat pertama ini yang melibatkan 12 kawasan bagi 3 buah negeri Zon Selatan.
 
"Secara keseluruhannya aspek pematuhan SOP dilaksanakan dengan jayanya meliputi pelajar, staf yang terlibat serta kenderaan terbabit sejak dari awal hingga selesai proses.
 
"Kesemua kenderaan yang digunakan turut sekali lagi melalui proses dinyah cemar sekali lagi sejurus selesai penghantaran pelajar dan sebelum bergerak pulang ke kampus induk UTeM," ujarnya.
 
Ujar beliau lagi,  penzahiran kerjasama baik dari Jabatan BOMBA dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi kerajaan terbabit turut menjadi pelengkap kepada keberhasilan operasi peringkat pertama ini.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim yang turut memantau dan mengikuti sepanjang proses penghantaran ini gembira apabila operasi peringkat pertama ini berjalan dengan efisien dan lancar.
 
Beliau berkata, semoga operasi pertama ini terus menjadi momentum terbaik bagi memastikan keberjayaan proses penghantaran penuntut bagi peringkat kedua yang akan menyusul pada 4 Mei nanti bagi penghantaran ke Zon Tengah 1 pula.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, secara umumnya UTeM sentiasa komited dalam menjayakan amanat yang telah disandarkan oleh pihak kerajaan secara ammya dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara khususnya.