Walaupun di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Universiti Teknikal Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tetap menyahut seruan bagi menderma darah bagi meningkatkan kembali bekalan darah di Hospital Melaka yang kian berkurangan.
Program Derma Darah Musim PKP ini telah diadakan bertempat di Kafetaria Satria, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka pada pagi tadi.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ini adalah antara sumbangan yang kami usahakan bagi membantu Jabatan Perubatan Transfusi
, Hospital Melaka yang amat-amat memerlukan bekalan darah pada musim PKP ini.
Jelas beliau, apatah pula di musim PKP yang kian hampir memasuki bulan Ramadan ini yang mana bekalan darah pula semakin berkurangan sedangkan situasi amat memerlukan.
Katanya, gerak kerja pengurusan derma darah ini dilaksanakan oleh Pusat Kesihatan UTeM dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Hospital Melaka dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus yang telah ditetapkan bersesuaian musim pandemik ini.
Sementara itu Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr Mohammad Fuzi Saidin menyatakan gerak kerja pihaknya mengikut SOP sepenuhnya di samping bilangan penderma yang dibenarkan adalah seramai kurang dari 50 orang pelajar sahaja.
Ujar beliau, para penderma dalam kalangan pelajar pula adalah mereka yang memang tinggal dalam Kampus UTeM sejak dari awal dan sepanjang tempoh PKP ini sahaja yang dibenarkan menderma.
Secara umumnya perjalanan operasi derma darah berjalan dengan lancar sekaligus menjayakan hasrat kami bagi meningkatkan bekalan darah di Hospital Melaka di musim PKP dan Ramadan ini.