Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah terpilih menjadi penganjur bersama dalam menjayakan The 19th International Expo on Invention and Innovations, Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 sebagai Pengerusi Anugerah Inovasi dan Rekacipta 2020 (IIA 2020).
 
MTE 2020 merupakan platform kepada pecipta inovasi mengenengahkan hasil ciptaan mereka yang bertaraf dunia dengan menyaksikan sehingga lebih lima ratus penyertaan pempamer pada setiap tahun.
 
MTE 2020 ini bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Februari 2020 bertempat di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
 
MTE 2020 ini disokong sepenuhnya oleh beberapa kementerian utama dalam negara kita seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim merangkap Pengerusi bagi kategori Invention and innovation Awards berkata, secara fokusnya UTeM dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) STV lebih tertumpu kepada aspek penjuriandan anugerah kepada para peserta yang mengambil bahagian pada kali ini.
 
Jelas beliau, antara anugerah yang disediakan adalah rantaian pingat emas, perak dan gangsa serta anugerah merit, anugerah merit antarabangsa, anugerah khas kategori dan anugerah khas luar negara.

Katanya, dari segi kategori yang dipertandingkan pula meliputi tujuh belas kategori semuanya yang mana antaranya adalah kategori elektrik, teknologi pendidikan dan pedagogi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan banyak lagi.
 
“Menyentuh mengenai penjurian pula barisan panel juri adalah dari kalangan tenaga pakar dan profesional dalam bidang ini yang mana separuh dari mereka adalah dari kalangan ahli-ahli akademik dari universiti-universiti ternama dalam negara.
 
“Manakala sebahagiannya pula adalah terdiri daripada pakar-pakar dari agensi dan sektor industri yang berprofil tinggi dan begitu dikenali di peringkat nasional dan rangkaian global,” ujar nya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata sewaktu taklimat kepada para peserta MTE 2020 di SIRIM Shah Alam baru-baru ini, dari segi kriteria penjurian dan agenda pula telah dibuat perancangan rapi dan tersusun agar pelaksanaanya nanti memenuhi kriteria dan matlamat penganjuran yang telah dihasratkan.
 
Menurut beliau penyertaan masih dibuka sehingga 31 Januari 2020 dan kepada yang berminat boleh melayari laman web mte.org.my
 
Taklimat tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Urusan PROTEMP Exhibition and Conferences, Ronald Chiew dan Ketua Pegawai Ekeskutif (CEO) SIRIM STV Ajmain Kasim.