Skip to main content
8 January 2020

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di pentas dunia pada segenap dimensi sekaligus meletakkan UTeM antara universiti awam teknikal yang terus berprestij di peringkat antarabangsa.
 
Antara kejayaan terbaru yang telah dicapainya apabila berjaya melonjakkan ke kedudukan ke-114 dalam Penarafan Universiti Dunia UI GreenMetric 2019 yang diumumkan, baru-baru ini.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, penarafan antarabangsa itu yang mengiktiraf keupayaan universiti melaksanakan konsep dan amalan hijau di institusi masing-masing, membabitkan penyertaan 780 universiti dari 85 negara.
 
Secara keseluruhan, beliau berkata, UTeM telah menempatkan peningkatan semenjak dari kali pertama menyertai UI GreenMetric menerusi pencapaian dalam enam kategori utama, iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, penggunaan air, pengangkutan serta pendidikan.
 
Beliau mengucapkan tahniah kepada Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA) dan seluruh warga UTeM atas kejayaan ini sekaligus menjadi realiti UTeM Kampus Hijau yang terus komited melaksanakan kluster pengurusan hijau yang inovatif dan mampan.
 
Sementara itu, Pengarah Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA) UTeM, Prof. Madya Juhari Ab Razak berkata, UTeM juga melaksanakan pelbagai program kelestarian berkaitan pengurusan dan penjimatan tenaga di kampus, termasuk mewartakan polisi penggunaan tenaga serta polisi pengurusan sisa pepejal dan buangan terjadual.