Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkasakan Kursus Atas Talian Terbuka Leluasa / Massive Open Online Course (MOOC) dari tahun ke tahun sejak ianya diperkenalkan di UTeM pada tahun 2015 yang lalu.

Perkara ini sekaligus melonjakkan prestij UTeM selaku universiti awam pertama menawarkan konsep Pindah Kredit bagi MOOC tersebut yang tentunya menjana impak tinggi positif kepada para pelajar yang mengambilnya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pencapaian UTeM ini seiringan dengan hasrat pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT) 2015-2025 iaitu inisiatif pembelajaran atas talian secara global.

Jelas beliau, Prosedur Pindah Kredit MOOC Tanpa Gred (PKMT) di UTeM dan cadangan pelaksanaannya telah diluluskan oleh Mesyuarat Senat UTeM pada 26 Oktober 2017 lalu di samping kelulusan dari Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) untuk melaksanakan PKMT untuk pelajar kejuruteraan bagi subjek bukan kejuruteraan di UTeM.

Ujarnya, banyak kebaikan yang dinikmati dengan pelaksanaan pindah kredit MOOC ini antaranya adalah kursus MOOC boleh diambil sebelum dan semasa pengajian pelajar.

“Beban kredit kursus yang diambil secara MOOC tidak diambil kira sebagai beban dalam semester pengajian pelajar, pindah kredit adalah tanpa gred, kredit yang dipindahkan tidak diambil kira dalam pengiraan CGPA pelajar, serta pelajar berpeluang memendekkan tempoh pengajian.

“Di samping itu, kursus MOOC yang diambil hendaklah yang diiktiraf setara oleh UTeM, dan kursus MOOC yang diambil boleh terdiri dari kursus MOOC yang ditawarkan oleh UTeM atau oleh lain-lain Penyedia MOOC dalam atau luar negara, katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Razali Muhamad berkata, pada Semester 2 Sesi 2017/2018, Pindah Kredit MOOC di UTeM telah dimulakan dengan penawaran buat pertama kalinya untuk pelajar-pelajar bukan kejuruteraan di UTeM. 

Menurut beliau, pelajar-pelajar yang mengambil kursus MOOC ini perlu melengkapkan pengambilan e-kandungan, e-aktiviti dan e-pentaksiran secara penuh untuk memperolehi Sijil Tamat MOOC. 

“Setelah memperolehi Sijil Tamat MOOC, pelajar boleh mendaftar Ujian Kompetensi MOOC yang dilaksanakan secara bersemuka di UTeM dan sehingga kini, seramai 167 orang pelajar telah memperolehi Sijil Tamat MOOC Mandarin 1.”

“Mereka turut telah mengambil Ujian Kompetensi MOOC bagi kursus MOOC Mandarin 1 dan semua pelajar telah lulus dan layak membuat pindah kredit MOOC,” katanya.

Mengulas lanjut berkata, lanjutan dari itu, pelajar-pelajar akan terdedah dengan platform pembelajaran yang membudayakan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutama kecerdasan digital yang amat penting untuk dikuasai oleh semua pelajar di era transformasi digital ini.