Skip to main content

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperhebatkan suntikan budaya menyumbang bahan bacaan dalam kalangan komuniti setempat.

Selari itu, PLH UTeM telah melancarkan inisiatif terbaru dalam memperluaskan lagi skop penerimaan bahan bacaan dengan penyediaan kotak sumbangan bahan bacaan bertempat di pusat membeli belah terkemuka di Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PLH, Azman Haji Ayup berkata, sebanyak 5 Kotak Sumbangan Bahan Bacaan telah diletakkan di lokasi strategik yang menjadi kunjungan orang ramai seperti Ruang legar Perpustakaan Komuniti AEON Bandaraya Melaka, Ruang Legar berhampiran Kaunter Pertanyaan Melaka Sentral, Ruang Orang Ramai berhampiran Family Store Kip Mart, Bachang Ruang Legar berdekatan Pintu Hadapan Giant, Cheng dan Ruang Legar Tingkat 1 berhampiran Secret Recipe, Mahkota Parade. 

Jelas beliau, para penyumbang boleh menyumbang kesemua jenis bahan bacaan sama ada menerusi bentuk fizikal seperti buku dan majalah atau pun dalam bentuk digital seperti CD-ROM, VCD, DVD sama ada lama atau baharu yang masih berada dalam keadaan baik.

Ujarnya, program ini menyasarkan sumbangan daripada masyarakat sekitar negeri Melaka yang berminat untuk menyumbangkan bahan bacaan kepada PLH UTeM bagi memberi peluang kepada warga UTeM dan masyarakat setempat untuk berkongsi bahan bacaan serta membudayakan sikap cintakan buku.

"Program sebegini merupakan satu platform positif bagi meningkatkan minat membaca melalui sumbangan bahan bacaan terpakai serta salah satu jaringan perkongsian maklumat dan visibility perpustakaan di antara warga UTeM dan masyarakat setempat,” katanya lagi.

Di samping itu, pihak PLH turut menempatkan stesen buku di setiap fakulti, pusat tanggungjawab dan Kolej Kediaman Pelajar dan bahan bacaan yang disumbangkan akan diambil mengikut jadual pengutipan bahan yang telah ditetapkan.

Sebagai salah sebuah universiti teknikal yang berteraskan aplikasi dan amalan, PLH sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk menyokong universiti dalam mempertingkatkan mutu pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perundingan bagi mencapai visi, misi dan objektif PLH selari dengan visi dan misi Universiti.