Mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) menerusi Persatuan Pelajar FTKMP (CHAMPION) UTeM telah menabur bakti menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berlangsung di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.
Program yang digelar sebagai Shore of Love tersebut telah melibatkan seramai 33 orang pelajar kelab CHAMPION bagi memupuk budaya kesukarelawan di kalangan mahasiswa menerusi pelbagai aktiviti khidmat masyarakat dan CSR.
Penasihat Kelab CHAMPION selaku Pensyarah Kanan FTKMP UTeM, Dr. Mohd Fauzi Mamat menyatakan bahawa program ini merupakan tanda prihatin dan salah satu usaha untuk mengeratkan lagi hubungan di kalangan CHAMPION dan menanam sifat cinta kepada alam sekitar.
Jelas beliau, program ini merupakan sebagai salah satu tanggungjawab sosial mahasiswa untuk lebih cakna dan prihatin kepada alam sekitar agar kebersihan alam sekitar akan lebih terjaga dan terpelihara untuk flora dan fauna di Malaysia.
"Konsep program ini turut berasaskan alam semula jadi yang mana sambil beriadah, pelajar juga dapat mendekatkan diri, menghargai dan memelihara alam sekitar bagi memulihkan alam yang telah pun tercemar," ujar beliau lagi.
Delegasi CHAMPION tersebut turut disertai oleh dua orang pegawai pengiring iaitu penasihat kelab CHAMPION, Dr. Mohd Fauzi Mamat dan Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar FTKMP, Dr. Nur Hazwani Mokhtar.
Program tersebut turut memberi peluang kepada delegasi untuk menikmati keindahan alam disamping bekerjasama dalam membersihkan sepanjang kawasan trek Kincir Angin dan Long Beach, Pulau Perhentian.