Skip to main content

Pusat Kesihatan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dianugerahkan Penganjur Kempen Derma Darah Aktif bagi tahun 2018 sewaktu Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2019 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan baru-baru ini.

Program ini merupakan anjuran Jabatan Perubatan Transfusi, Unit Tabung Darah Hospital Melaka bertempat di Unit Tabung Darah Hospital Melaka tersebut telah membawakan tema “Darah Yang Selamat Untuk Semua”.

Menurut Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr. Mohamad Fuzi Saidin sewaktu ditemui selepas tamat majlis berkenaan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga atas penghargaan yang diberikan oleh Unit Tabung Darah Hospital Melaka kepada UTeM.

Jelas beliau, UTeM hanyalah sekadar ingin membantu menerusi beberapa perkara seperti mendapatkan sokongan masyarakat bagi menyahut amalan menderma darah dan membantu pesakit kronik termasuk penghidap leukemia, barah dan denggi berdarah di Hospital Melaka khususnya dan Hospital seluruh Malaysia umumnya.

Katanya, program derma darah yang dianjurkan turut bertujuan bagi menambah kadar penderma darah disebabkan keadaan penduduk menjelang 2020 berada di peringkat tua di mana lebih 7 peratus populasi Malaysia adalah penduduk berumur lebih 65 tahun ke atas dan mereka tidak layak menderma darah lagi.

“Semoga dengan penghargaan yang diterima bakal eningkatkan penglibatan warga UTeM untuk menjadi penderma dan pemangkin aktiviti semasa kempen derma darah di UTeM," ujar beliau lagi.

Pusat Kesihatan UTeM merupakan salah satu dari agensi yang menerima Anugerah Penganjur Kempen Derma Darah Aktif 2018 selain dari lapan lagi penerima penganjur aktif iaitu Kipp Mall, Persatuan Bulan Sabit Merah, McDonalds Cheng, Matrikulasi Londang, Persatuan Pengguna, Hospital Pantai Ayer Keroh, St John dan Tesco Peringgit.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Low Chee Loeng, diiringi bersama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Rushidi Ramly, Timbalan Pengarah Perubatan 4 Hospital Melaka, Dr. Rosli Tompang, dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka, Dr. Nor Amiza Mat Amin.

UTeM memenangi Anugerah Penganjur Kempen Derma Darah Aktif 2018 berdasarkan jumlah penganjurannya iaitu sebanyak lima program dan mengumpul penderma sebanyak 627 orang.