Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalankan program khidmat komuniti menghasilkan mural di 2 buah sekolah di daerah Melaka Tengah baru-baru ini.
Bersempena dengan Hari Sukarelawan Sedunia 2018 kali ini, pihak UTeM telah memilih Sekolah Kebangsaan Tengkera 1 dan Sekolah Kebangsaan Seri Bandar, Melaka bagi merealisasikan agenda ini.
Program dua hari ini melibatkan seramai 27 orang mahasiswa yang terdiri daripada MPP UTeM.
Program ini dijayakan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM dan Exco Sukarelawan MPP.
Menurut Pengarah Program, Wong Kok Jing berkata, aktiviti melukis mural ini adalah salah satu khidmat komuniti bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai minat dalam aktiviti sukarelawan bagi menyumbang bakti kepada masyarakat luar.
Jelasnya, penghasilan mural ini mempunyai tema yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Love, Humanising Education, Happiness and Mutual Respect.
“Walaupun menghadapi kekangan masa sebagai mahasiswa dengan aktiviti akademik namun kami berbangga dapat menghasilkan mural yang berkualiti”, ujar beliau yang merupakan pelajar Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM.
Sementara itu Penolong Pegawai Tadbir Unit Perhubungan dan Komunikasi Pelajar, Pejabat HEP UTeM, Hamzah Sirun berkata, dapatan program ini mendapat maklum balas yang baik daripada kedua-dua pihak sekolah dan menghargai sumbangan seni mural yang telah diberikan.
“Ternyata khidmat komuniti ini telah memberi impak positif kepada mahasiswa khususnya dalam memberikan sumbangan bakti kepada komuniti setempat dengan mengaplikasikan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki”, ujar beliau sewaktu menyelia program ini di sekolah berkenaan.