Skip to main content



Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sedia kongsi kepakaran bersama dengan Universitas Sriwijaya dalam menjayakan program bersama bagi pemerkasaan mahasiswa bagi kedua-dua universiti berkenaan di rantau ini.

Perkara berkenaan antara yang topik yang dibincang dan dirangka bersama pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UTeM bersama dengan delegasi Universitas Sriwijaya sewaktu menerima kunjungan delegasi berkenaan di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal baru-baru ini.

Delegasi Universitas Sriwijaya diwakili oleh Prof. Dr. M Zulkarnain selaku wakil Timbalan Rektor Bidang Kemahasiswaan dan Alumni bersama 2 orang pegawai dan 20 orang mahasiswa dari universiti berkenaan.

Menurut Timbalan Naib Canselor HEP Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, penganjuran aktiviti pelajar secara lebih meluas antara kedua-dua universiti kelak bakal memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswa yang terlibat terutamanya menerusi silang budaya serta perkongsian keunikan antara dua buah negara.

"Siri pertemuan ini turut memperincikan tentang pertukaran maklumat, idea dan perancangan kerjasama menerusi pelaksaan aktiviti mahasiswa UTeM dan Universitas Sriwijaya terutamanya menerusi pertukaran pelajar menerusi program mobiliti pelajar", ujar beliau yang mempengerusikan perbincangan berkenaan.

Dalam perbincangan antara kedua-dua buah universiti ini turut dihadiri bersama Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat HEP Misdom Lan, pegawai-pegawai unit-unit terlibat di Pejabat HEP dan barisan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM.