Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama dengan tiga buah universiti antarabangsa menjayakan projek penyelidikan berimpak bagi menaiktaraf kebajikan dan status ekonomi komuniti luar bandar menerusi pembangunan kelestarian bekalan elektrik secara bersepadu.
Agenda ini adalah menerusi konsortium perkongsian kepakaran bersama antara UTeM dengan dua buah universiti dari United Kingdom iaitu University of Manchester dan University of New Castle serta Xiamen University dari China.
Sehubungan itu, baru-baru ini pihak UTeM telah menerima kunjungan daripada wakil University of Manchester iaitu Prof. Pierluigi Mancarella bagi meneruskan perbincangan tentang perkembangan terkini serta langkah lanjut merealisasikan projek berimpak ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim yang mewakili Naib Canselor UTeM berkata, menerusi perkongsian kepakaran ini UTeM terus melangkah cemerlang dalam perspektif penyelidikan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan komuniti luar bandar di negara ini.
Jelas beliau, usaha ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi nasional yang terus fokus dalam memajukan serta mempertingkatkan kebajikan dan status ekonomi komuniti luar bandar seperti di kepulauan Borneo yang tertumpu di Sarawak dan Sabah.
Konsortium projek penyelidikan antarabangsa ini telah mendapat suntikan dana daripada The Engineering and Physical Sciences Research Council (EPSRC) bagi tujuan Resilient and Sustainable Energy Networks for Developing Countries.
Sementara itu Ketua Penyelidik projek ini yang mewakili UTeM iaitu Profesor Madya Dr. Gan Chin Kim dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) menyatakan bahawa UTeM komited dalam menjayakan projek ini di samping tiga universiti lagi kerana saling bekerjasama dalam menzahirkan kepakaran bersama.
Ujar beliau, projek ini bermula sejak bulan Mei 2018 lalu dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun yang mana berkemungkinan berakhir pada bulan April tahun 2021 nanti dengan suatu hasil yang memberangsangkan sekaligus mencapai matlamat asal.