Skip to main content

Jabatan Pengkomputeran Pintar dan Analitik (ICA), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Melaka Taming Sari Bhd (MTSB) telah menganjurkan MTSB – UTeM National Roborace Challenge 2018 bertempat di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir, Melaka baru-baru ini.

Acara tahunan yang melangkah tahun ke-11 penganjurannya ini telah diadakan secara terbuka untuk disertai oleh para pelajar sekolah dan universiti di Malaysia dengan tujuan untuk memberi pendedahan yang berguna kepada para pelajar tentang pertandingan robot khususnya.

Ianya juga turut membantu dalam membentuk kemahiran penyelesaian masalah, perancangan strategik, kepimpinan, pengetahuan dan kerjasama berpasukan dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut Dekan FTMK, Gs. Dr. Othman Mohd dalam ucapan beliau sewaktu majlis penyampaian hadiah menyatakan bahawa acara yang yang diadakan bertujuan dalam membentuk dan membantu pelajar yang cemerlang dalam mencorak kreativiti dan inovasi.

Katanya, penganjuran tersebut turut bertepatan dengan salah satu daripada cabang bidang FTMK yang terdapat di UTeM iaitu penawaran bagi program yang berkaitan dengan Kepintaran Buatan yang mana memfokuskan terhadap bidang robotik.

Sebanyak 39 pasukan telah mengambil bahagian bagi dua kategori iaitu kategori sekolah dan kategori terbuka yang mana bagi kategori sekolah mendapat penyertaan daripada 10 sekolah di sekitar Melaka, 2 sekolah di Selangor dan Pahang, manakala 1 sekolah di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Johor.

Bagi kategori terbuka pula, 4 pasukan dari UTeM turut mengambil peluang dalam pertandingan ini di samping 10 penyertaan dari sekolah dan orang awam di sekitar Melaka, empat dari Johor dan dua dari Selangor.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dekan FTMK kepada johan kategori sekolah yang dimenangi oleh kumpulan SK Malim 2 dari Sekolah Kebangsaan Malim manakala johan kategori terbuka pula diraih oleh kumpulan SK Malim 4 dari sekolah yang sama.