Prihatin terhadap senario pembangunan pendidikan semasa serta tanggungjawab sosial korporat maka Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil inisiatif menyumbangkan meja lukisan kejuruteraan kepada beberapa buah sekolah terpilih di negeri Melaka.
Sumbangan ini dilengkapkan sekali dengan 122 unit meja lukisan kejuruteraan, 75 unit kerusi dan 70 unit sesiku-T sekaligus memudahkan pihak sekolah dan pelajar dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek berkaitan.
Penyerahan ini dilangsungkan menerusi sebuah majlis yang diadakan bertempat di Bangunan Canselori Kampus Induk UTeM Durian Tunggal baru-baru ini.
Menurut Dekan FKM, Dr. Ruztamreen Jenal berkata, penyerahan tersebut merupakan salah satu usaha dari pihak fakulti dan universiti bagi menggalakkan sekolah-sekolah terus mempunyai hubungan baik dengan UTeM di samping kami bersedia memberikan khidmat kepakaran kepada pihak sekolah dari semasa ke semasa UTeM bagi program dan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pelajar.
Tambah beliau lagi, penyerahan yang dijalankan oleh FKM tersebut merupakan satu bantuan berbentuk elemen penting bagi sesebuah sekolah dalam melahirkan seseorang jurutera mekanikal yang mahir dalam bidang kemahiran merekabentuk dan penghasilan lukisan kejuruteraan.
Ulas Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan beliau sewaktu majlis penyerahan berharap bahawa sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menyuntik semangat kepada pelajar dalam mempelajari konsep lukisan kejuruteraan.
Ujar beliau lagi, pihak UTeM sentiasa membuka luas peluang kepada semua pelajar untuk meneruskan pengajian di UTeM ini pada masa akan datang agar dapat melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang kejuruteraan.
Empat buah sekolah yang menerima sumbangan tersebut adalah terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Zahiruddin, Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, Sekolah Menengah Arab JAIM Assyakirin serta Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin.