Demi untuk mengkomunikasikan peranan dan fungsi pendidikan tinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara langsung kepada komuniti di utara Semenanjung Malaysia maka UTeM telah menganjurkan Seminar Industri kepada golongan komuniti di sana.
Antara komuniti yang menyertai Seminar Industri anjuran UTeM ini adalah dari Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai, Nibong Tebal, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), rakan-rakan industri dan juga rakan sektor kerajaan sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Siswazah UTeM ini bertempat di Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai ini telah berlangsung pada minggu lalu telah berjaya ramai peserta yang terdiri daripada para pensyarah, jurutera, eksekutif dan juga mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam sekitar.
Penyelaras Program, Dr. Mohd Azli Salim berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan lanjut tentang pencapaian, aktiviti serta kelebihan yang dimiliki UTeM kepada masyarakat yang berada di utara Malaysia.
Katanya, Pusat Pengajian Siswazah UTeM selaku pengelola bersama program juga tidak ketinggalan dalam mempromosikan program pengajian pasca siswazah yang ditawarkan di UTeM untuk menarik masyarakat setempat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun perancangan untuk program ini hanya mengambil masa singkat selama dua minggu sahaja, namun penyertaan yang diterima di luar jangkaan dan semoga dengan kejayaan kali ini, ia menjadi batu loncatan untuk meneruskan program hampir sama di lokasi yang berlainan.
Dalam program tersebut,10 orang ahli akademik UTeM turut sama terlibat dengan berkomunikasi secara langsung bersama para peserta untuk menerangkan tentang kecemerlangan UTeM sejak penubuhannya yang mana UTeM terus melakar impak nasional dan antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan penghasilan graduan professional yang memenuhi keperluan majikan.