Skip to main content

Kontinjen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sepakat untuk memberikan tentangan hebat dalam Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2018 yang kini telah mula beraksi.

Pada kali ini MASUM 2018 melalui 2 fasa iaitu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bermula 15 hingga 21 Julai 2018 ini manakala fasa kedua pula bakal membuka tirai pada 31 Julai hingga 5 Ogos 2018 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Majlis penyerahan bendera kontinjen UTeM telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib bertempat di Pusat Sukan UTeM Kampus Induk Durian Tunggal sebelum fasa 1 bermula sebelum ini.

Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib  berkata, kejohanan ini dijadikan sebagai medan bagi menzahirkan kemahiran dan aksi sukan serta potensi pencapaian pasukan masing-masing.

Tambah beliau, MASUM 2018 juga adalah sebagai platform bagi para atlit dalam meneguhkan jalinan persahabatan dalam kalangan universiti awam dalam negara di samping semangat kesukanan dan pencarian bakat untuk ke tahap mewakili negara selepas ini.

“Daripada 11 acara yang disertai UTeM pada kali ini, kami mensasarkan untuk membawa pulang 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa menerusi pasukan taekwondo lelaki dan acara pencak silat”, jelas beliau.

Di samping itu Kontinjen UTeM turut akan terus memberi saingan hebat kepada beberapa acara lain antaranya adalah bola keranjang, ragbi 15 sebelah, tenis, bola tampar dan hoki.

Majlis penyerahan bendera dan ikrar Kontinjen UTeM turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan & Pengurusan Fasiliti) Prof. Dr. Ridzuan Nordin yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Timbalan Pendaftar kanan Pejabat HEP Misdom Lan, Pegawai Belia dan Sukan UTeM Siti Sarah Bujang serta barisan kontinjen yang merangkumi para atlet kontinjen MASUM 2018.