Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melebarkan rangkaian pengantarabangsaannya secara agresif dan konsisten sekaligus meletakkan jenama universiti teknikal paling berprestij ini setaraf dengan universiti kebanggaan dunia yang lain.
Terbaru, Pusat Antarabangsa UTeM telah menerima kunjung hormat daripada delegasi Taiz University Yemen bagi membincangkan mengenai peluang kolaborasi peringkat antarabangsa ini dan perbincangan keduua-dua pihak ini telah diadakan di Bangunan Canselori kampus induk UTeM Durian Tungal.
Dalam lawatan ini pihak Taiz University diwakili oleh enam orang yang diketuai oleh Presidennya Dr. Mohammed Al-Shouaibi manakala pihak UTeM pula diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad.
Menurut Datuk Dr. Mohd Razali berkata, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai peluang kerjasama antaranya adalah seperti program pertukaran pelajar dan kakitangan akademik kedua-dua universiti.
Katanya, mereka juga turut merancang untuk mewujudkan program pemantauan pelajar pasca siswazah disamping menjalankan pelbagai program latihan, penyelidikan dan pembangunan secara kolaborasi antara kedua-dua universiti.
Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi program kerjasama ini juga membuka peluang kepada pelajar pengajian Ijazah Doktor Falsafah Taiz University untuk melanjutkan sesi pengajian mereka menurut bidang sedia ada yang ditawarkan di UTeM lalu perkara ini mewujudkan scenario berimpak positif untuk kedua-dua pihak.
Jalinan strategik UTeM dan universiti-universiti ternama dari luar negara kian bertambah saban tahun sekaligus meledakkan jenama UTeM sebagai universiti bertaraf dunia yang terus diperakui pencapaian cemerlangnya di peringkat global.