Skip to main content

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menerima lawatan dan kunjung hormat daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bagi membincangkan mengenai peluang kerjasama yang bakal dijalankan bersama UTeM di Kampus Induk UTeM Durian Tunggal.

Delegasi DBP telah diketuai oleh Ketua Pengarahnya Datuk Haji Abdul Adziz Abas telah membincangkan mengenai beberapa projek pembinaan aplikasi yang akan memudahkan penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menerusi penggunaan telefon bimbit dan alat gajet yang lain.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu ditemui di pejabat beliau menyatakan bahawa perbincangan tersebut merupakan satu peluang kolaborasi yang amat penting dalam memartabatkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa mengetepikan kepentingan menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.

Ujar beliau lagi, UTeM sendiri menerusi Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) sentiasa memartabatkan Bahasa Melayu menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan seperti Minggu Bahasa Melayu, Malam Sayembara Puisi dan pelbagai aktiviti yang lain bagi mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda Malaysia.

“Perbincangan lanjut mengenai perancangan aplikasi ini akan dibuat dengan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar sewaktu diperkenalkan secara rasmi kelak”, tambah beliau mengakhiri temubual.

Aplikasi yang bakal dibina hasil kerjasama UTeM dan Dewan Bahasa dan Pustaka kelak dijangka bakal membantu rakyat Malaysia khususnya untuk memperbaiki pertuturan dan penulisan mereka dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.