Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangka kerjasama straetgik bersama Liverpool John Moores University menerusi perbincangan yang telah dilangsungkan antara kedua-dua belah pihak baru-baru ini.

Perbincangan ini adalah susualan kunjungan hormat dari Dekan Eksekutif Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Liverpool John Moores University, Profesor Ahmed Al-Shamma’a ke Kampus Induk UTeM Durian Tunggal.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib berkata, perbincangan ini telah melebarkan ruang dan peluang kepada UTeM untuk meluaskan empayar bidang pendidikan tinggi universiti awam ke peringkat antarabangsa.

Tambah beliau lagi, menerusi aspek pengantarabangsaan yang dijalankan maka ianya akan turut diterjemahkan dalam konteks mobiliti pelajar dan kakitangan akademik agar terzahirnya perkongsian kepakaran dan teknologi antara kedua-dua belah pihak berlaku.

“Menerusi peluang kerjasama strategik tersebut juga, UTeM berharap agar ia menjadi medan dalam mempercepatkan proses beraksi cemerlang sebagai universiti awam teknikal di peringkat antarabangsa dengan cara kolaborasi menerusi bidang penyelidikan dan pembangunan”, ujar beliau mengakhiri temubual.

UTeM selaku universiti awam teknikal paling berprestij di negara ini terus menyerlah jauh dari yang biasa bukan hanya di peringkat nasional malah usaha gigih bagi menawan global terus giat dilaksanakan oleh universiti ini.