Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) untuk kali pertama pada tahun 2018 selaras dengan pelantikan terbaru dua orang ahli LPU yang telah dilantik oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh bagi mengisi kekosongan kerusi ahli yang telah tamat pelantikannya.
Dua pelantikan terbaru tersebut merupakan wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Dato’ Prof. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz bagi tempoh tiga tahun bermula 2 Januari 2018 sehingga 1 Januari 2021 dan Dr. Normas Awang untuk Kementerian Kewangan Malaysia bagi tempoh tiga tahun bermula pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.
Mesyuarat yang diadakan pada minggu lalu telah diadakan di UTeM Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat kepada UTeM yang terletak di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh di samping antara pengisian lanjut mesyuarat tersebut adalah lawatan ke Kampus Teknologi bagi melihat dengan lebih dekat perkembangan serta pembangunan fasiliti pengajaran dan pembelajaran di Kampus Teknologi yang menempatkan lebih daripada seratus buah makmal berteknologi tinggi selari dengan kemajuan industri dunia.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah LPU UTeM, Academician Tan Sri Ir. Dr Ahmad Tajuddin Ali FASc. berkata, secara umumnya mesyuarat pada kali ini lebih berfokuskan kepada perbincangan mengenai perkembangan dan kemajuan UTeM sebagai universiti awam teknikal kepada ahli lembaga pengarah yang lama dan perkenalan kepada ahli LPU baharu.
Tambah beliau lagi, perbincangan turut menyentuh mengenai perancangan bersepadu dalam memajukan UTeM untuk lebih dinamik dan berprestij tinggi selari dengan revolusi industry di peringkat nasional dan persada global.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib mengulas lanjut berkata, lawatan ke Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bagi memperlihatkan kepada barisan ahli LPU akan kelengkapan kemudahan dan kemajuan makmal-makmal yang terdapat di fakulti tersebut seperti Makmal Tribologi, Makmal Teknologi Pembentukan Termaju, Makmal Pembuatan Terpantas dan Makmal Teknologi Pemesinan Termaju yang terus menjadi rujukan industri multinasional dalam konteks penyelidikan dan inovasi.
Delegasi ahli LPU UTeM sewaktu lawatan ke fakulti telah disambut oleh Dekan FKM Dr. Ruztamreen Jenal dan Dekan FTK Prof. Madya Mohd Rahimi Yusoff di samping ketua-ketua jabatan bagi kedua-dua fakulti.