Dalam usaha memperkasakan kompetensi sumber manusia bertaraf global maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Erasmus+ bersama Hochschulu Hannover – University of Applied Sciences and Arts, Jerman (HsH) baru-baru ini.
Perkara ini telah dibincang bersama kedua-dua universiti menerusi kunjungan wakil dari HsH ke UTeM yang diwakili oleh Melanie Koster dan Patricia Schmelzeisen dari Fakulti Mekanikal Kejuruteraan Bio-Proses HsH manakala pihak UTeM melalui Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, berkata ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan oleh pihak HsH selepas perjanjian persefahaman telah ditandatangani oleh pihak UTeM dan HsH sebelum ini yang mana berobjektifkan perkongsian tenaga pakar dalam bidang sains dan kejuruteraan.
“Perancangan program pertukaran staf ini merupakan perancangan di bawah program Erasmus+ yang mana ia merupakan satu program pendidikan dan latihan yang memberikan peluang kepada kesemua golongan untuk belajar merentasi benua dan negara .
Dekan FKP, Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Salleh turut menyatakan bahawa lawatan yang berlangsung selama seminggu tersebut telah membawa wakil dari HsH melihat keseluruhan fakulti UTeM di samping mengadakan kunjung hormat ke pejabat Pengurusan Tertinggi UTeM bagi melengkapkan lawatan yang diadakan.
UTeM telah memulakan kerjasama dengan Fakulti Mekanikal Kejuruteraan Bio-Proses, HsH bermula dari 2011 yang lalu dan berterusan sehingga kini apabila UTeM dan HSH bersetuju untuk memperbaharui perjanjian persefahaman yang dijangka tamat pada Julai 2021.