Skip to main content
21 March 2024

Ukhwah Kasih Ramadan: UTeM Teruskan Tradisi Jamu Nasi Talam Percuma Buat Pelajar Berbuka Puasa dan Buffet Untuk Bersahur di Masjid Sayyidina Abu Bakar Sepanjang Ramadan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan tradisi gotong-royong masak dan jamu nasi talam percuma kepada pelajar sebagai juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, projek ini berteraskan kepada ukhwah semarak kasih Ramadan kakitangan dan pelajar UTeM berpisah tiada.

Ujarnya, kakitangan UTeM menerusi setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) secara berjadual mengikut giliran memasak secara gotong-royong di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar untuk menyediakan juadah berbuka puasa buat pelajar.

“Lebih 1,000 orang pelajar mendapat manfaat dapat menikmati juadah berbuka puasa secara pakej nasi talam bersama dengan aneka lauk pauk menyelerakan sepanjang bulan mulia ini.

“Uniknya setiap hidangan lengkap nasi talam ini akan disusun untuk dinikmati oleh para pelajar untuk berbuka puasa,” ujarnya ketika ditemubual baru-baru ini.

Katanya, biarpun kakitangan pentadbiran dan akademik sibuk dengan tugas harian masing-masing, namun tidak menghalang mereka meluang masa untuk menyediakan juadah berbuka terutama kepada pelajar golongan B40.

Pada masa yang sama sukarelawan dari kalangan pelajar UTeM ada juga membantu pada setiap hari bagi menjayakan projek kebajikan ini.

Massila berkata, berkenaan peruntukan bagi menjayakan projek ini dianggarkan berjumlah lebih RM 200,000 melalui Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, Tabung Amal Jariah UTeM dan Pusat Islam UTeM.

"Penyediaan juadah iftar ini juga dibiayai dengan dana yang diperolehi hasil daripada sumbangan dan kutipan dari dalam kalangan kakitangan UTeM, pelbagai lapisan masyarakat dan sektor korporat," katanya.

Tambah beliau, berteraskan kepada kecaknaan UTeM kepada kebajikan pelajar, pihak UTeM turut menyediakan makanan dalam bentuk buffet buat para pelajar untuk bersahur di Masjid Sayyidina Abu Bakar.

“Kuantiti penyediaan makanan tersebut disediakan buat lebih 350 orang pelajar yang hadir, seterusnya dapat menunaikan solat sunat dan solat subuh berjemaah di sini,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini program berkongsi rezeki itu berjalan lancar, seiring dengan objektif program untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang istimewa untuk semua pelajar dan kakitangan UTeM.

Ujarnya, pada masa yang sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program itu secara konsisten.