Skip to main content
18 October 2023

Penerokaan Penyelidikan dan Aktiviti Mobiliti Pelajar Antara Asia dan Eropah: UTeM Meterai Memorandum Persefahaman Bersama Universiti Ternama Romania

Dalam usaha memperkasa penerokaan bidang penyelidikan dan mobiiti pelajar antara Asia dan Eropah maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama “Dunarea de Jos” University of Galati (DJUG) Romania.

Dokumen MoU tersebut ini telah ditandatangani Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin bersama Rektornya DJUG, Profesor Puiu Lucian Georgescu bertempat di Galati, Romania.

Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Profesor Ts. Dr. Noreffendy Tamaldin dan Timbalan Rektor DJUG, Profesor Elena Mereuta,.

Prof Massila berkata, DJUG merupakan rakan strategik pertama UTeM dari Romania dan hubungan dua hala ini dilihat mampu menyerlahkan kerjasama hebat dalam konteks penyelidikan dan inovasi.

“Bukan itu sahaja malahan memperkasakan aktiviti mobiliti pelajar bersama memandangkan DJUG adalah salah satu universiti di Eropah yang mempunyai pembiayaan Erasmus+ untuk program mobiliti pelajar.

“Sementara itu, jalinan kerjasama ini turut mengangkat imej dan prestij UTeM di peringkat dunia terutama dalam konteks kecemerlangan akademik.

“Hal yang demikian, menerusi pertukaran kursus dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi dan teknousahawan serta bidang-bidang lain yang berkaitan,” ujarnya sewaktu memberikan kenyataan di DJUG, Galati, Romania.

Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan kerjasama ini bakal memberikan impak kepada pendidikan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan meningkatkan kerjasama global di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pendidikan Berkualiti dan SDG17 Rakan Kerjasama untuk Matlamat.