Seramai 24 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda (PA) di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 tahun 2021, baru-baru ini.
Majlis ini telah diadakan secara hybrid (bersemuka dan dalam talian) di IPT masing-masing atau gabungan di antara IPT dengan kapasiti yang minimum mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada majlis tersebut, Muhammad Hakimi Mohamad Zafridin, 25 tahun, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) telah dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2021.
Beliau yang merupakan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2018/2019 banyak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di peringkat universiti dan negeri Melaka.
Antaranya menyertai anggota sukarelawan Pertahanan Awam di Pusat Kawalan Operasi Daerah Melaka Tengah dan pernah bertugas di Pusat Pemindahan Sementara banjir di Melaka, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, berkata karakter diri melalui keterlibatan dalam KOR SISPA merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan membuahkan hasil yang cukup membanggakan kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin.
Jelas beliau, mahasiswa UTeM amat digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan melalui sokongan pelbagai pihak melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.
"Pihak UTeM amat menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sepanjang tempoh pandemik melalui penugasan di bilik gerakan, bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan membantu bersama dalam proses kemasukan semula pelajar baru-baru ini," ujarnya dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini sempena dengan majlis tersebut yang turut dihadiri beliau.
Di samping itu beliau juga turut mengucapkan tahniah buat 23 lagi mahasiswa UTeM yang telah berjaya menamatkan dan ditauliahkan sebagai Leftnenan Muda Pertahanan Awam.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Yang Berhormat Datuk Mastura Tan Sri Dato' Mohd Yazid yang hadir membacakan teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Yang Berhormat Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini telah menganugerahkan 870 Pegawai Kadet KOR SISPA daripada 24 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan satu Institusi Pendidikan Guru (IPG).
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Kpj. (PA) Datuk Roslan Wahab, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Ppj. (PA) Ghazali Abd Rahman, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan, Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Kol. (PA) Fazlisyah Muslim dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kol. (PA) Che Adam Abdul Rahman