Skip to main content
MELAKA, 3 November: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di pentas dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan cemerlang dalam penarafan QS World University Rangkings: Asia 2022.
 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM dan menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, seluruh warga UTeM komited meningkatkan usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah universiti teknikal yang unggul bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di persada dunia.
 
Jelasnya, sebagai sebuah universiti teknikal awam yang pertama di Malaysia, UTeM telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan keupayaan teknikal negara termasuk menawarkan program akademik berteraskan industri bagi melahirkan graduan holistik yang menjadi pilihan utama.
 
Katanya, menerusi usaha-usaha tersebut UTeM telah berjaya menempa nama dalam senarai universiti terbaik di Asia apabila diumumkan dalam penarafan QS World University Rankings: Asia 2022, semalam.
 
“Berdasarkan senarai penarafan terbaharu itu, UTeM telah diumumkan berada pada kedudukan 401-450 pada masa yang sama menzahirkan UTeM telah meningkatkan pencapaian dalam komponen yang berkaitan dengan reputasi, rangkaian penyelidikan antarabangsa serta mobiliti pelajar.
 
“Ini merupakan tahun ketiga UTeM menyertai senarai penarafan tersebut. Berdasarkan pencapaian ini, UTeM berada dalam 60% teratas di kalangan institusi pengajian tinggi di Asia,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
 
Penarafan QS ini menilai 11 komponen utama dalam sesebuah universiti termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta reputasi yang mana kaedah ini telah diperkenalkan sejak 2009 lagi oleh penarafan ini.
 
UTeM turut mengkonkritkan Pelan Strategik baharu yang dinamakan Seven Strategic Goals of UTeM (SSG UTeM): 2021-2025 yang mana melalui Pelan Strategik ini, UTeM
telah mengenalpasti strategi serta inisiatif-inisiatif khusus bagi menghadapi cabaran situasi semasa khususnya pasca pandemik serta cabaran akan datang.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM berharap untuk menambahbaik kedudukan ini pada tahun akan datang.