Skip to main content
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim telah diberi penghormatan menjadi panel bagi mewakili Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dalam forum di peringkat antarabangsa secara atas talian, baru-baru ini.
Forum berkisar kepimpinan wanita dalam pengajian tinggi antarabangsa ini merupakan anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
Dr. Raha menjelaskan ulasan beliau berkenaan forum tersebut adalah berhubung pandangan beliau mengenai strategi dan kaedah yang beliau aplikasikan untuk mengurus sebuah universiti teknikal yang berteraskan elemen utamanya kejuruteraan dan teknologi maklumat & komunikasi yang mana seperti diketahui umum majoritinya adalah golongan lelaki.
 
Beliau turut mengupas cabaran dan cara untuk mengatasi permasalahan sedia ada dan sebagai wanita pertama yang memegang teraju kepimpinan tertinggi sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal di Malaysia.
 
Tambah beliau, turut disentuh adalah perkongsian pendapat terhadap budaya dan fahaman orang terdahulu mengenai wanita yang kebiasaannya tidak seharusnya berkembang dan maju dan cara beliau mengatasi budaya dan fahaman tersebut sehingga beliau berada pada kedudukannya kini.
 
Mengulas lanjut dalam memberi ulasan berkaitan forum tersebut, beliau turut berkongsi mengenai hala tuju UTeM yang ingin dicapainya semasa di bawah payung pentadbiran beliau.
 
Forum tersebut telah berlangsung selama 2 jam yang mana ucapan pembukaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
 
 
Forum itu turut disertai oleh 3 lagi ahli panel yang mewakili institusi pengajian tinggi negara masing-masing iaitu Presiden Ewha Womans University, Korea Selatan, Prof. Kim Heisook, Naib Canselor Massey University, New Zealand, Prof. Jan Thomas dan Presiden National Cheng Kung University, Taiwan, Prof. Huey-Jen Jenny Su manakala moderator adalah Penolong Naib Presiden dan Editor Kanan Astro Awani, Melisa Idris.