Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melonjak naik kedudukan dalam senarai universiti terbaik Asia menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS) yang mengumumkan senarai universiti terbaik di Asia, semalam.
 
Ianya adalah berdasarkan kriteria bertaraf dunia yang telah ditetapkan dalam QS World University Rankings: Asia 2021.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, berdasarkan laporan tersebut UTeM telah meningkatkan kedudukannya dalam kalangan 60 peratus teratas di kalangan universiti terbaik Asia.
 
Jelas beliau, ini merupakan tahun kedua UTeM menyertai senarai penarafan tersebut dan perkembangan pencapaian ini agak memberangsangkan.
 
Katanya, kedudukan terbaru ini mencatatkan bahawa universiti teknikal berprestij ini telah melonjakkan kedudukan pada tahap baru iaitu pada kedudukan 401-450 berbanding sebelumnya pada kedudukan 451-500.
 
“Penarafan QS ini menilai 11 komponen utama bagi sesebuah universiti meliputi aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan serta reputasi,” ujar beliau sewaktu memberi kenyataan semalam.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan UTeM bertekad untuk terus menyerlah dan menambahbaik kedudukan ini pada tahun mendatang walaupun dalam persekitaran global yang dipengaruhi pasca Covid 19.
 
“Ini adalah cabaran yang sedia kami galas demi memartabatkan UTeM di mata dunia selari dengan visinya iaitu menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia,” ujarnya.
 
Dr Raha menyatakan selari dengan persiapan komprehensif mendepani cabaran mendatang kami telah merangka beberapa inisiatif berimpak mencakupi segenap elemen termasuklah memperhebatkan pengisian dan penzahiran pelan strategik mampan universiti ini.