Skip to main content
03 August 2026

Keunggulan Berganda: UTeM Menang World Education Excellence Award, NC Rangkul World Outstanding Education Leadership Award 2026

KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi cemerlang berteraskan teknologi bertaraf global apabila meraih dua pengiktirafan berprestij pada World Business Chamber Inaugural Dinner and World Business Awards 2026 di sini, semalam.

UTeM menerima World Education Excellence Award, manakala Naib Canselor Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, dinobatkan sebagai penerima World Outstanding Education Leadership Award 2026.

Pengiktirafan itu diberikan atas kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri, selain mengiktiraf kepimpinan Prof. Datuk Ts. Dr. Massila dalam memperkasa pendidikan tinggi, transformasi digital, pembangunan bakat dan penyelidikan berimpak tinggi.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri mantan Ketua Hakim Negara serta mantan Ketua Hakim Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC Courts), Tun Dato' Seri Zaki Tun Azmi.

Prof. Datuk Ts. Dr. Massila berkata, pengiktirafan berganda itu bukan sekadar menjadi kebanggaan kepada UTeM, malah membuktikan kemampuan UTeM untuk berdiri sebaris dengan institusi pendidikan tinggi terbaik dunia.

"Anugerah ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UTeM yang sentiasa komited menjadikan kecemerlangan sebagai budaya kerja. Ia membuktikan bahawa UTeM mampu mencipta impak besar dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi di peringkat antarabangsa."

Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada UTeM untuk terus memperkukuh agenda kecemerlangan universiti menerusi penyelidikan berimpak tinggi, penghasilan inovasi yang memenuhi keperluan industri serta pembangunan modal insan berkualiti.

"Kami akan terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan industri dan institusi global bagi melahirkan graduan yang kompeten, meningkatkan kecemerlangan penyelidikan serta menyokong aspirasi negara dalam memperkasakan pendidikan tinggi dan TVET sebagai pemacu pembangunan ekonomi berteraskan teknologi."

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Lembaga Pengarah Universiti, rakan industri, alumni serta seluruh warga UTeM atas komitmen dan sokongan berterusan sehingga membolehkan universiti mencapai pengiktirafan bertaraf dunia.

Turut hadir meraikan kejayaan itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Mohd Rizal Salleh, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Zahriladha Zakaria, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwa Pelajar, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Dr. Musthafah Mohd Tahir serta Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib.

Sebelum ini, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk World Women Empowerment Impact Award 2026, World Responsible AI Leadership Award 2025, World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024, Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pemimpin pendidikan tinggi negara yang disegani di peringkat global.