Skip to main content
23 January 2026

Program National Womenpreneur Pitching Competition 2026 Memperkasa Keusahawanan Wanita Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia julung kalinya telah berjaya menganjurkan Program National Womenpreneur Pitching Competition 2026 (NWPC) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapan perasmian penutupnya menyatakan program ini sangat baik kerana bukan sahaja menyediakan satu platform pembelajaran yang berimpak tinggi kepada mahasiswi tetapi memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan potensi diri dan mengasah kemahiran komunikasi.

Jelasnya, saya percaya, penganjuran program seumpama ini mampu menyemai minat keusahawanan dalam kalangan mahasiswi dan seterusnya melahirkan graduan wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan dan pemimpin perniagaan pada masa hadapan.

Katanya lagi, ia adalah selaras dengan tema program, Driving Women Entrepreneurship, usaha memperkasa keusahawanan wanita perlu diteruskan secara bersepadu melalui kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi, rakan industri, pihak kementerian serta agensi bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan program yang turut memberikan impak langsung kepada sektor perniagaan dalam negara secara khususnya buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Jelasnya, program ini tentunya menzahirkan kesungguhan UTeM dalam memperkasakan keusahawanan wanita kepada ekonomi negara serta memberikan pendedahan sebenar kepada mahasiswi tentang ekosistem perniagaan sebenar.

“Menerusi program ini kita mencungkil bakat mahasiswi dalam membentangkan idea perniagaan berpotensi tinggi yang diterajui oleh usahawan PKS serta menggalakkan inovasi, daya saing dan kelestarian perniagaan,” katanya.

Dalam pertandingan ini para peserta dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada 2 golongan yang terdiri daripada juri akademia dan industri dan juara pertandingan ini membawa pulang hadiah utama sebanyak RM 3,000.00, tempat kedua RM 2,000.00, dan tempat ketiga RM 1,000.00 serta 2 hadiah saguhati RM 500.00.

Juara bagi NWPC 2026 menjadi milik Low Qian Yu dari UTeM dengan projek ODOR Absorbing Smart Insole, tempat kedua dimenangi oleh Thrischta Sathiamoorty, Universiti Multimedia dengan projek Murder in Math Mansion dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Hanissa Azhan Jafni Azhan dari Universiti Teknologi MARA (UITM) dengan projek SIPHA Enterprise.

Sementara itu 2 hadiah saguhati pula menjadi milik kepada Ainulsarah Anizar dari UTeM dengan projek Campus Bus Tracker dan Nurin Batrisyia Solehan degan projek WebKraft Studio.

Turut hadir dalam program ini adalah pegawai-pegawai kanan kementerian, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad, Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) UTeM, Dr Johanna Abdullah Jaafar dan Pengarah Pusat Hubungan Strtaegik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib