GAHIVE’25 Satukan Mahasiswa Tempatan, Antarabangsa Perkasa Kelestarian Kampus
MELAKA – Keupayaan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam menganjurkan program berimpak tinggi terserlah apabila Green Angler Hunt & Intervarsity Volunteer Engagement (GAHIVE’25) berjaya menghimpunkan lebih 100 pelajar dari dalam dan luar negara bagi memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Program kolokium selama tiga hari itu dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) UTeM bersama Kelab Fasilitator Sahabat Siswa (FASASI) sempena Sambutan 25 Tahun UTeM, sekali gus mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyokong agenda kelestarian kampus.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, ketika merasmikan program berkata, penerapan nilai kelestarian dan pembelajaran berasaskan pengalaman perlu diperkukuh bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah prihatin terhadap alam sekitar.
Menurut Pengarah Program, Haiqal Ali, GAHIVE’25 memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran sukarelawan, pendidikan alam sekitar serta pembentukan jaringan antara universiti.
“Program ini menjadi medan latihan kepimpinan kepada mahasiswa melalui aktiviti lapangan yang mencabar. Penyertaan pelajar antarabangsa pula memberi nilai tambah dari segi pertukaran ilmu dan budaya.
“GAHIVE’25 turut melibatkan mahasiswa dari Indonesia, Thailand dan Jerman, kebanyakannya menerusi program mobiliti antarabangsa, sekali gus memperkukuh kerjasama pendidikan dalam konteks kelestarian global.
“Selain itu, alumni UTeM turut terlibat sebagai fasilitator dengan membimbing peserta melalui pelbagai aktiviti berasaskan alam sekitar seperti Eco Race Challenge, Green Angler Hunt, EcoLab Junior Explorer dan aktiviti plogging di sekitar kampus,” katanya yang merupakan pelajar tahun 3, program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, menyifatkan program tersebut sebagai platform berkesan dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan tanggungjawab sosial.
Katanya, pendedahan secara langsung kepada pengurusan alam sekitar membantu mahasiswa memahami realiti sebenar di luar bilik kuliah dan seterusnya melahirkan generasi muda yang lebih prihatin serta bersedia memikul tanggungjawab terhadap kelestarian negara.
GAHIVE’25 bukan sahaja menjadi medan pengukuhan jaringan antara mahasiswa dan alumni, malah membuka ruang kepada pembentukan sukarelawan berfikiran global dan komited terhadap pemeliharaan alam sekitar