Skip to main content
17 December 2025

Harumkan Nama Negara Pelajar UTeM Juara Design Expert Award Bidang HVAC Peringkat Dunia

Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nur Shahikhwan Mahamudin telah berjaya menjuarai Design Expert Award bagi 5th Session Midea International HVAC Design Contest.

Pertandingan ini telah diserta oleh beberapa negara besar antaranya seperti Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Georgia, Filipina, Afrika Selatan dan Azerbaijan.

Dengan kemenangan itu pelajar Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) yang juga penerima tunggal dari Malaysia ini telah menerima hadiah wang tunai sebanyak 1000 USD beserta sijil kemenangan di Award Ceremony & Gala Dinner berlangsung di Haikou, Hainan, China, baru-baru ini.

Beliau turut menerima tajaan penuh percutian ke Haikou, China selama 5 hari bermula 9-13 Disember untuk menerima Anugerah tersebut di samping menikmati beberapa pakej menarik yang dianjurkan Midea China.

Pada majlis yang sama, Jurutera Pengajar Kanan FTKM UTeM, Ts. Siti Nor'ain Mokhtar juga turut menerima anugerah Bronze Pencil Award dengan meraih 1000 USD beserta sijil Kemenangan bagi kategori profesional.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga pernah memenangi Silver Pencil Award bagi Kategori yang sama dengan kejayaan membawa pulang 2000 USD.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian ini jelas membuktikan kemenjadian pelajar UTeM dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf dunia.

Katanya, ini juga turut menzahirkan kebitaraan pelajar UTeM dalam bidang Penyejukan dan Penyaman Udara (HVAC) secara amnya dan Rekabentuk Sistem HVAC secara khususnya.

“UTeM sememangnya telah lama berjaya melahirkan graduan berkompetensi tinggi dalam bidang HVAC ini secara khususnya yang merupakan salah satu mekanisme dalam cabang TVET.

“Pada masa yang sama perkara ini turut selari dengan keperluan dan permintaan tinggi dalam sektor perindustrian dan komuniti global,” ujarnya.