Skip to main content
28 November 2025

Merintis TVET Termaju - Rentas Dunia Rentas Budaya” Terbitan UTeM Menang Anugerah Buku Antarabangsa ASEAN 2025

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mrenyerlahkan reputasinya sebagai institusi prolifik dalam penerbitan ilmiah apabila karya terbitan Penerbit UTeM bertajuk “Merintis TVET Termaju - Rentas Dunia Rentas Budaya” diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Antarabangsa ASEAN 2025 bagi Kategori Pendidikan Transformasi TVET Terbaik.

Pengiktirafan berprestij ini disampaikan menerusi menerusi ASEAN International Book Award 2025 yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadiah kemengan berupa sebuah piala dan sijil kecemerlangan ini telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar

Buku hasil penulisan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Ts. Mohd Khairul Nizam Suhaimin ini mengetengahkan naratif baharu berkaitan kemajuan TVET rentas budaya dan rentas sempadan, sekali gus memperlihatkan keupayaan UTeM dalam menghasilkan karya ilmiah yang relevan dengan arah tuju ASEAN ke arah pendidikan responsif dan berdaya saing.

Kejayaan tersebut turut menzahirkan peranan strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pengetahuan, meningkatkan literasi saintifik serta menyumbang kepada agenda pembaharuan pendidikan negara yang membuktikan komitmen UTeM sebagai peneraju bidang TVET di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Buku ini mengangkat naratif baharu mengenai perkembangan TVET rentas budaya dan sempadan, selari dengan aspirasi ASEAN ke arah pendidikan masa depan yang responsif dan inklusif.

Penulis utama Dr. Massila menyatakan bahawa buku tersebut dihasilkan bukan sekadar sebagai karya ilmiah, tetapi sebagai refleksi kepada peranan TVET dalam pembangunan rantau ASEAN.

Jelasnya, TVET kini menjadi pemacu penting kepada daya saing serantau, selaras dengan saranan Perdana Menteri yang menekankan keterangkuman, mobiliti tenaga kerja dan kesediaan industri masa depan.

“Buku ini menelusuri bagaimana pendekatan TVET rentas budaya boleh memperkukuh kerjasama ASEAN, meningkatkan integrasi kemahiran serta menyokong agenda pembangunan bersama.

“TVET bukan lagi bersifat nasional semata-mata, tetapi bergerak sebagai platform serantau yang menyatukan tenaga kerja, institusi pendidikan dan sektor industri di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, penulis bersama Ts. Mohd Khairul Nizam Suhaimin menekankan pentingnya institusi memberi ruang jelas dan konstruktif kepada akademik muda untuk berkarya dan menyumbang.

“Ruang profesional perlu diberikan kepada akademik muda, sebagaimana yang dizahirkan melalui kepimpinan Naib Canselor UTeM pada masa ini dan sokongan sebegini bukan sahaja memperkasa bakat baharu, malah memupuk budaya akademik yang progresif,” Ujarnya.

Penerbit UTeM dalam kenyataannya mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong usaha penerbitan universiti dan kemenangan ini dianggap sebagai mercu tanda baharu yang memperkukuh kedudukan UTeM di pentas antarabangsa.