Terajui Keberhasilan Inisiatif Baharu TVET Negara: UTeM Hasilkan Graduan Sulung Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber
MELAKA: Uiversiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melakar sejarah pada apabila telah berjaya menghasilkan seramai 125 orang graduan sulung Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-21, di sini, hari ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penghasilan graduan sulung FAIX ini menjadi translasi keberhasilan graduan dalam bidang Kepintaran Buatan dan Keselamatan Siber buat dunia pendidikan tinggi dan negara.
Jelasnya, UTeM sentiasa komited dalam menzahirkan peranan besar bagi menerajui dan menjayakan aspirasi inisiatif baharu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara menerusi FAIX.
“Peranan kami bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET Negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kecerdasaran Buatan dan Keselamatan Siber semata-mata malahan lebih dari itu.
“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.
“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan (Applied AI) yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi dan sistem pintar,” katanya ketika ditembual selepas sesi kelima hari ketiga Majlis Konvokesyen UTeM hari ini.
Massila berkata lagi, pada hari ini sejarah tercipta apabila seramai 125 orang graduan FAIX telah naik ke pentas menerima ijazah dalam bidang Kepintaran Buatan dan Keselamatan Siber.
“Seramai 62 orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dengan kepujian manakala 63 orang graduan telah menerima
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan kepujian,” katanya.
Mereka merupakan antara 3,278 graduan UTeM yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula dari 1 hingga 3 November membabitkan enam sesi itu.
Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama,Ab Rauf Yusoh.