Seramai 3,278 Graduan UTeM Bakal dirai
Seramai 3,278 orang graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen UTeM ke 21 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 November ini.
Majlis tersebut akan diadakan bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kesemua graduan berkenaan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen yang dijadualkan menerusi 6 sesi bagi 3 hari berturut-turut.
“Daripada jumlah tersebut, graduan Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 93 orang, Ijazah Sarjana seramai 202 orang, Ijazah Sarjana Muda seramai 2,604 orang dan diploma pula 379 orang.
“Peratusan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTeM pula adalah sebanyak 71 peratus merangkumi pelbagai program pengajian yang telah mereka ikuti di UTeM.
“Antarnya menerusi pelbagai program seperti teknologi kejuruteraan dalam bidang Elektrik, Elektronik, Mekanikal, Pembuatan serta Sains Komputer dan Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan,” katanya.
Sementara itu, seramai 76 orang graduan akan menerima anugerah-anugerah utama yang akan disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama majlis konvoksesyen nanti
“Antara anugerah utama adalah seperti Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Khas Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional, Anugerah BEM President Award dan Anugerah TUAH.
“Terdapat 11 Anugerah Khas Industri yang akan diberikan kepada pelajar dan uniknya UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, seramai 92 orang graduan antarabangsa pasca siswazah UTeM dari 13 buah negara antaranya seperti Amerika Syarikat, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Pakistan dan Yaman akan bergraduat bersama dengan 19 orang graduan pra siswazah dari 7 buah negara.
Pada masa yang sama Pesta Konvo UTeM diadakan bertempat di Tapak Pesta Konvo berdekatan dengan Dewan Canselor yang bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam dan orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkannya dengan pelbagai aktiviti dan program menarik bakal disajikan kepada para pengunjung dan masuk adalah percuma.