Skip to main content
14 August 2025

UTeM Giatkan Pemerkasaan Bidang TVET Aeroangkasa

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini sedang giat dalam proses pemerkasaan ke arah merajui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan Aeroangkasa.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila kamalrudin berkata, UTeM sedang giat memulakan langkah strategik dan berimpak tinggi dalam penerokaan dan menerajui bidang TVET Aeroangkasa pula.

Jelasnya, selari itu maka UTeM turut mendapat sokongan penuh daripada National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) yang telah membuka laluan kerjasama strategik bersama industri-industri utama dalam bidang ini.

Katanya, seiringan itu, kami sedang rancak membangunkan kurikulum TVET Aeroangkasa yang relevan, dinamik dan berpaksikan keperluan semasa pasaran kerja global.

“UTeM mengenal pasti sijil-sijil kompetensi khusus yang membolehkan graduan mencapai tahap kemahiran dan pengetahuan yang memenuhi kehendak pasaran industri secara optimum.

“Pendekatan ini akan memastikan setiap graduan TVET Aerospace UTeM mempunyai kelayakan profesional dan kompetensi teknikal yang diiktiraf, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.

Katanya lagi, kerjasama ini adalah satu lonjakan strategik untuk memastikan UTeM terus dinamik dan menjadi rujukan utama dalam bidang TVET berteknologi tinggi, khususnya Aeroangkasa.

“Dengan sokongan NAICO Malaysia, graduan kami bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga pengiktirafan kompetensi yang menjadikan mereka pilihan utama industri,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha ini tentunya menyahut dan selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di

rantau Asia Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.

Program-program TVET Aeroangkasa ini akan dijalankan sepenuhnya di 2 buah fakulti iaitu Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Melakanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan (FTKIP).

Tambah Massila, pada masa yang sama UTeM turut berkolaborasi dalam bidang TVET Aeroangkasa ini di peringkat global bersama sebuah institusi dari Rusia iaitu Moscow Aviation Institute.

“Bagi menjayakan kerjasama ini kini pihak FTKM sedang meneliti struktur akademik untuk mobiliti pelajar ke sana yang mana pelajar UTeM akan diberikan pendedahan industri TVET Aeroangkasa di peringkat global menerusi program mobiliti,” katanya.

“Perkara ini jelas menzahirkan komitmen UTeM dalam usaha mempekasa TVET Aeroangkasa bukan hanya di persada nasional malahan merentas sempadan antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof. Ts. Shamsul Kamar Abu Samah, menyatakan NAICO Malaysia komited untuk memberikan sokongan penuh dalam usaha UTeM membangunkan kurikulum TVET Aerospace yang memenuhi standard dan keperluan industri.

“Ini termasuk memudahcara hubungan dengan pemain industri utama serta memastikan graduan yang dihasilkan memiliki kemahiran terkini selaras dengan perkembangan teknologi aeroangkasa global.

“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, UTeM bukan sahaja mempersiapkan graduan yang bersedia menyertai industri aeroangkasa, malah turut menyokong agenda negara untuk memperkukuh ekosistem TVET berteknologi tinggi yang mampu bersaing di pentas global,” ujarnya lagi.